Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Siapa makan cili, dialah yang terasa pedasnya. Orang yang bersalah akan berasa tersindir kerana kesalahannya.
Ternyata, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ‘terasa sampai ke hati’ dengan sindiran mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ‘memulangkan semula paku buah keras’nya kerana tidak berminat menjadi ‘Raja Formula Songsang’.
Ia berikutan, Najib mendakwa, Rafizi mahu mengambil semula inisiatif berhubung dengan rakyat seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH), sebelum ini.
Najib dalam hantaran di Facebooknya, hari ini, menyindir lagi bekas Ahli Parlimen Pandan itu kerana memperkenalkan banyak formula yang hanya tinggal nama sahaja.
“Sensitif betul dia (Rafizi) ni. Tak ada siapa pernah pertikaikan kamu tak ada formula. Sebaliknya, masalah ialah kamu terlalu banyak formula.
“Formula mansuh PTPTN (Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional), pendidikan percuma, mansuh tol, petrol RM1.50, harga kereta Honda Civic lagi murah dari PROTON MyVi dan sebagainya.
“Kesemua formula ke laut. Formula songsang.
“Satu pun tak boleh pakai sehingga kamu lari masuk gua pada bulan Disember 2019 lalu setelah diketawakan dan dimaki seluruh Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Rafizi membalas sindiran Najib yang menggelarkannya sebagai “raja formula songsang”, pada 23 Mac lalu dengan berkata UMNO mempunyai ramai menteri tetapi tiada formula untuk menyelesaikan isu rakyat.
Rafizi yang kembali aktif dalam politik berkata lagi, formula adalah penting kerana dari langkah itu dapat mencari cara penyelesaian terhadap sesuatu masalah.
“Paling kurang aku ada formula, ini kau ada menteri berlambak ni, satu formula pun tak ada. Otak letak dekat mana?,” katanya ketika pelancaran Ayuh Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.