Oleh Tun Puteh Wanti
Netizen dikejutkan dengan berita anak sulung pasangan selebriti Neelofa dan Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz iaitu Muhammad Bilal menerima duit raya berjumlah RM14,020.
Ramai yang persoalkan wajarkah ia diumumkan seperti dapat keputusan peperiksaan SPM?
Bagaimanapun, menyoroti sejarah awal pemberian duit Raya ini, banyak yang boleh dikupas.
Adat pemberian duit raya sudah lama wujud dalam budaya Melayu sebagai tanda berkongsi rezeki dan kegembiraan.
Ia bermula dengan adat Melayu menziarahi kaum keluarga, sahabat handai, merapatkan silaturahim.
Dalam pertemuan itu, buah tangan dibawa bersama seperti ketupat, lemang dan sebagainya, tanda menghargai ketibaan tetamu.
Tuan rumah dan tetamu saling bertukar buah tangan, saling mencukupi apa yang kurang. Contohnya, tiada beras dibawakan beras, tiada susu dibawakan susu.
Zaman berubah, perkembangan wang syiling juga berubah, masyarakat yang mencari rezeki memiliki wang untuk dikongsi.
Zaman 60 an, pada masa itu nilai wang adalah besar. Duit Raya bernilai 10 sen, 20 sen, 1 sen, 1/2 sen dan 5 sen masih ada nilainya.
Mengikut orang tua, 5 sen itu boleh makan sepinggan nasi di kedai.
Lama kelamaan nilai wang berubah dan semakin naik.
Dahulu sekitar awal 80 an kanak-kanak diberi 10 sen hingga 50 sen dan mereka melompat kegembiraan.
10 sen boleh makan sepinggan bihun goreng, 30 sen boleh beli satu botol air karbonat Sarsi atau Oren.
Pada satu tahun, wang kertas RM1 diperkenalkan, satu Malaysia seronok.
Pada Raya tahun itu wang terbaharu dijadikan hadiah untuk kanak-kanak, mereka teruja dapat duit kertas baharu RM1.
Kemudian ada sambutan perayaan Aidilfitri disambut serentak dengan Tahun Baru Cina atau Kongsi Raya, di sini budaya sampul Raya meniru sampul Ang Pau muncul.
Berbalik kepada era sekarang, air karbonat berharga RM2.50 ke atas dan kanak-kanak banyak pilihan barang lain yang boleh dibeli.
Nilai pemberian duit Raya hari ini sudah berubah, kebanyakkan orang ramai memberi duit raya RM5, RM10 dan RM20.
Bagi golongan atasan mereka beri duit Raya kepada RM50. Nilai pemberian mengikut kemampuan masing-masing.
Malah, kanak-kanak pun sudah bijak memilih rumah mana untuk dikunjungi.
“Rumah ini kita dapat RM10, rumah sana kita dapat RM2, rumah satu lagi tak perlu pergi sebab tak ‘asyuk’,” jelas mereka.
Ibu bapalah yang mencorak nilai dalam diri anak-anak. Zaman dahulu ibu bapa berpesan,
“Anak-anak jika pergi ke rumah orang pada Hari Raya, salam dengan tuan rumah mohon maaf. Hari Raya untuk kita ziarahi orang, Allah dan Nabi suka kita ziarah orang. Jangan meminta-minta duit Raya, kalau orang jemput makan sudah seribu rahmat,” kata ibu bapa.
Anak sudah dididik Hari Raya adalah hari menziarah, erat silaturahim. Tetapi zaman sekarang, ibu bapa pula bertanya “berapa duit dapat dan anak siapa paling banyak dapat duit Raya?
Nilai perbezaan ini kadang-kadang boleh menghakis nilai sebenar budi pekerti hidup bermasyarakat, kanak-kanak sudah tahu nilai ‘material’ sejak kecil.
Jadi tidak hairanlah, kerana harta dan wang ringgit ada yang terputus persahabatan, terputus saudara, terputus nilai kekeluargaan dan masyarakat.
Beza dengan generasi terdahulu di mana senang sama dirasa, susah sama dipikul kerana mereka tahu kita semua ‘menumpang’ dan segalanya adalah ‘pinjaman’, tiada yang kekal kecuali Tuhan Yang Esa.