Oleh Tun Puteh Wanti
PUTRAJAYA : Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Presiden merangkap Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun ini.
Lantikan beliau diumumkan olej Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Pelantikan Fadlun, 55, sebagai Presiden merangkap Pengerusi PPj yang ke-7 itu adalah selaras dengan perenggan 5(1)(a) Akta Perbadanan Putrajaya 1995 [Akta 536], katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau sebelum ini Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat) PPj menggantikan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, bermula 15 Disember tahun lepas (2021).
Shahidan berkata, beliau percaya dengan pengalaman serta daya kepimpinan dan kredibiliti yang dimiliki Fadlun, beliau berupaya memperkasakan lagi tadbir urus dan menerajui Perbadanan Putrajaya, untuk terus cemerlang ke arah mencapai Putrajaya Bandaraya Pentadbiran Mampan Bertaraf Dunia.
“Dengan pengalaman 22 tahun di PPj, memberi kelebihan kepada Fadlun untuk mengemudi PPj atas kapasiti pengetahuan dan kemahirannya yang luas, selain pengalaman yang mendalam berkaitan pengurusan bandar raya serta dasar perancangan di Putrajaya.
“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan, kecemerlangan serta khidmat bakti Muhammad Azmi sepanjang berkhidmat sebagai Presiden merangkap Pengerusi PPj dari 1 Okt 2020 hingga 15 Dis 2021,” katanya.