spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Nasib pensyarah hina B40 ditentukan KPT

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) berpendirian untuk mendapatkan nasihat daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terlebih dahulu bagi melaksanakan sebarang tindakan terhadap kumpulan pelajar dan pensyarah kontrak yang tular kerana didakwa memperlekehkan pelajar B40.

UiTM dalam satu kenyataan, di sini berkata, pihak pengurusan UiTM melalui mesyuarat pengurusan eksekutif, mempunyai dua pilihan keputusan bagi melaksanakan tindakan berkenaan.

“(UiTM) Tidak mengambil apa-apa tindakan kerana pensyarah dan pelajar terlibat telah bertemu, berbincang dan mengambil keputusan mengharmonikan keadaan, atau.

“Menamatkan kontrak pensyarah yang telah diperbaharui pada 15 Mac di mana pihak UiTM boleh menamatkan lantikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan tawaran.

“Bagaimanapun, keputusan UiTM bergantung kepada nasihat daripada KPT,” katanya menerusi kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, satu pertemuan diatur oleh pengurusan UiTM membabitkan sekumpulan lima pelajar bersama profesor kontrak dan Timbalan Naib Canselor UiTM Perak, Prof Dr Sazili Shahibi, di cawangan berkenaan, pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, kumpulan pelajar berkenaan ditemubual bagi mengenalpasti kesahihan video tular berkaitan pensyarah kontrak yang tular memperlekehkan pelajar B40 kerana tidak mempunyai komputer riba dipercayai berlaku ketika sesi kelas atas talian.

“Hasil temubual mendapati, kumpulan pelajar ini mengesahkan video berlaku semasa kuliah minggu kelapan semester oktober 2021-februari 2022, bagi kod kursus subjek Construction Economy & Islamic Finance (Perancangan Ekonomi dan Kewangan Islam) yang diajar oleh profesor berkenaan,” katanya.

Katanya, susulan pertemuan itu mendapati, pelajar yang terbabit dalam video berkenaan adalah graduan UiTM yang mendapat kepujian Sarjana Muda Sains dalam Teknologi Pembinaan.

Pihak universiti turut mendapati latarbelakang keluarga pelajar terbabit iaitu, bapanya tidak bekerja atas sebab tidak dapat dipastikan manakala ibunya masih ada dan bekerja sebagai operator pengeluar kilang. Pelajar berkenaan mempunyai tiga beradik.

“Pihak universiti mendapati, pelajar berkenaan menggunakan telefon bimbit bagi mengikuti kuliah atas talian kerana komputer peribadinya tidak dibawa bersama ke kampus.

“Pelajar telah lulus dalam peperiksaan akhir yang lalu termasuk kod kursus yang diajar profesor terbabit.

“Video bukan direkod dan ditular oleh pelajar ini sebaliknya dirakam dan dikongsi oleh pihak lain sehingga tular di media sosial malah pelajar berkenaan tidak bersetuju sama sekali atas tujuan video itu ditular,” katanya.

Berdasarkan rekod, pelajar terbabit tidak pernah membuat permohonan bantuan wang zakat, namun memperoleh pinjaman PTPTN.

Terdahulu, satu rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat yang memaparkan pensyarah wanita terbabit memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.

Menerusi rakaman itu, pensyarah wanita kontrak UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU) itu turut meminta pelajar itu menyuruh kakaknya menjual gelang emas bagi membeli komputer riba untuknya.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dilaporkan berkata, pihaknya kini dalam penelitian termasuk tindakan yang akan diambil terhadap pensyarah berkenaan.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases