spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Malaysia berdepan tuntutan RM63 bilion dari waris sultan Sulu

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia berdepan tuntutan pembayaran “arbitrasi terbesar di Sepanyol”, berjumlah kira-kira AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris sultan Sulu terakhir.

Ia berikutan, Malaysia dilaporkan berhenti membayar wang pemisahan tahunan RM5,300 kepada waris sultan Sulu sejak 2013 akibat pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.

Sekali gus mendakwa Malaysia melanggar perjanjian 1878, yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo.

Menurut laporan laman berita Sepanyol La Información pada Isnin, penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan pembayaran itu semasa perbicaraan di mahkamah arbitrasi di Paris, Perancis.

Menggelarnya sebagai “arbitrasi terbesar di Sepanyol”, artikel itu menyatakan, Stampa memutuskan bahawa perjanjian 1878 adalah satu “perjanjian pajakan swasta antarabangsa” komersial.

Melainkan anugerah itu dibatalkan, Malaysia kini mempunyai tiga bulan untuk membayar atau berisiko membayar faedah.

Waris sultan Sulu pada mulanya mahu menuntut AS$32.2 bilion (RM135.08 bilion) daripada Malaysia.

Ini bagi mendapatkan semula wang pemisahan yang belum dibayar bersama-sama dengan jumlah yang mereka percaya sepatutnya dibayar untuk hasil minyak dan gas yang ditemui di rantau ini.

“Penimbang tara (Stampa) mematuhi mandatnya dengan teliti dan sah, memutuskan pertikaian kontrak antara pihak,” kata portal yang memetik Bernardo Cremades Jr.

Terdahulu, waris sultan Sulu diwakili oleh firma guaman Sepanyol B Cremades & Asociados bersama Paul Cohen dan Elisabeth Mason dari 4-5 Gray’s Inn Square di London.

Malaysia tidak diwakili semasa timbang tara.

Waris berkenaan telah memulakan kes di Sepanyol kerana perjanjian 1878 ditandatangani di bumi Sepanyol.

Kes itu pada asalnya dibicarakan di Madrid sehingga Mahkamah Tinggi Madrid (Tribunal Superior de Justica de Madrid) membatalkan pelantikan Stampa atas alasan bahawa Malaysia tidak dimaklumkan dengan betul mengenai kes berkenaan dan dengan itu “tidak dapat membela diri”.

Kes itu kemudiannya dipindahkan ke ibu negara Perancis.

Laman web Global Arbitration Review melaporkan, Malaysia bagaimanapun tidak hadir semasa perbicaraan timbang tara di Paris.

Susulan pembatalan Stampa, Malaysia mencabar kesahihan untuk mendengar kes itu dibicarakan mahkamah jenayah.

Malaysiakini sedang menghubungi Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan ulasan mereka.

Sumber : Malaysiakini

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases