Mohd Nor Wahid
DATUK Seri Najib Razak menegur Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menghentikan membuat tuduhan palsu terhadapnya terutama di bulan Ramadan mulia ini.
Menurut Najib, pihak polis telah mengesahkan dakwaan Dr Mahathir sebelum ini yang beliau akan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung tindakannya mempertikaikan sistem keadilan yang digunakan terhadap Najib yang terlibat rasuah, namun masih lagi tidak dipenjara adalah tidak benar sama sekali.
“Tak elok untuk buat tohmahan palsu dalam bulan Ramadan ini.
“Semalam, dia tuduh dia dipanggil polis sebab Najib tapi faktanya ialah dia dipanggil atas siasatan berkenaan pendedahan dalam buku Tommy Thomas,” catat Najib di Facebook, hari ini.
Terdahulu, polis mengesahkan tiada siasatan baharu dibuat ke atas Dr Mahathir Mohamad sepertimana dilaporkan beberapa portal berita.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan berkata, kali terakhir bekas perdana menteri itu dipanggil polis adalah pada 22 Mac tahun ini bagi membantu siasatan kes terbitan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.
“Rakaman percakapan beliau diambil hanya sebagai saksi bagi menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan dalam buku dihasilkan bekas peguam negara berjudul ‘My Story: Justice in Wilderness’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahathir dalam dakwaannya itu turut memberi contoh perbuatan mencuri seekor ayam boleh dimasukkan dalam penjara serta merta.
“Ini keadilan di Malaysia. Curi seekor ayam masuk penjara serta merta. Oleh itu curi berbillion. Didapati salah oleh mahkamah. Bagi balik setengah billion. Bebas.”
Bekas perdana menteri itu berspekulasi dengan mendakwa,”Belum jadi. Tetapi boleh jadi. Saya agak-agak sahaja,” katanya. Beliau berkata, “Ya. Saya akan dipanggil untuk soal siasat.”
Mahathir berkata, dipanggil pihak berkuasa bertujuan untuk menakutkan orang. “Tutup mulut. Tutup telinga. Awak okay,” katanya. – END