Oleh Fhatihah Zakinan
SHAH ALAM : Status tindakan terhadap lapan penjawat awam sebuah agensi penguatkuasa di Putrajaya yang disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah akan diketahui selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiapkan laporan keputusan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya masih menunggu keputusan KDN dalam menentukan tindakan ke atas kesemua penjawat awam berkenaan.
Katanya, kesemua mereka bakal berdepan tiga kemungkinan sama ada dikenakan perintah tahanan, perintah sekatan atau dibebaskan.
“Kita siapkan fail kes untuk dihantar ke KDN. Kita tunggulah (keputusan).
“Bagi pihak polis, kita berpuas hati dengan maklumat yang kita ada berkenaan penglibatan lapan penjawat awam itu dalam sindiket yang kita tangkap. Kita tunggu keputusan daripada KDN,” katanya di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, katanya, setakat ini tiada tangkapan baharu penjawat awam berkaitan sindiket berkenaan.
“Seperti saya sering tegaskan, kita tidak tolak ansur dengan mana-mana penjawat awam yang terbabit. Mereka pasti akan ditangkap,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, seorang lagi penjawat awam yang ditahan sudah dituduh bersama-sama seorang nelayan.
Pada 15 Mac lalu, Ayob Khan dalam kenyataan dilaporkan berkata, polis menahan sembilan penjawat awam dan seorang nelayan selepas disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah, di Putrajaya dan Johor Bahru pada 6 Mac lalu.
Penahanan itu turut membabitkan rampasan dadah jenis syabu seberat 5.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM193,590.
Ayob Khan berkata, dadah dirampas itu cuba diseludup sindiket lain di Banting untuk pasaran di Indonesia.
Semua penjawat awam itu bertugas di sebuah agensi penguat kuasa di Putrajaya.