Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Dengan lafaz sumpah demi Tuhan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan berbincang mengenai pembubaran Parlimen dalam satu pertemuan dalam kalangan menteri UMNO di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya pada Jumaat.
Beliau berpendirian tegas menyatakan perkara itu, malah sebaliknya hanya menjelaskan hanya sesi bersarapan pagi bersama sebelum Mesyuarat Kabinet.
“Kita breakfast (sarapan pagi) sahaja. Wallahi (demi Tuhan, hanya bersarapan. Datuk Seri Reezal Merican (Naina Merican) belanja.
“Mungkin sebab kita sudah lama tidak berjumpa, minggu lepas PAU (Perhimpunan Agung UMNO) dan sebagainya,” katanya.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan berkenaan, pada sidang akhbar, selepas lawatan di ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) di sini.
Memetik laporan Sinar Harian sebelum ini, satu pertemuan antara menteri dan timbalan menteri daripada UMNO berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya pada hari terbabit.
Antara yang dilihat hadir pada sesi pertemuan berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Selain itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Saddiq.
Bagaimanapun, Annuar ketika ditemui menafikan ada pertemuan antara mereka.