spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

PM seru guna Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Beberapa pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dilihat terus berusaha memartabatkan Bahasa Melayu di dalam dan luar negara.

Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyampaikan kenyataan negara dalam Bahasa Melayu dalam ucapannya pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26), Glasgow di Scotland, Nov 2021.

Meskipun menerima reaksi pujian kerana menggunakan medium bahasa kebangsaan, namun turut dikritik kerana didakwa tidak fasih berbahasa Inggeris selain tidak ada penterjemahan langsung berikutan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Ismail Sabri bagaimanapun kemudian menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Beliau meminta supaya bahasa Melayu digunakan dalam semua acara atau majlis yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Bernama, pada Sabtu melaporkan, Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk dalam urusan mesyuarat dan persidangan antabangsa.

Ismail Sabri berkata, usaha itu bagi memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hingga ke peringkat ASEAN.

“Sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa dalam setiap urusan rasmi kerajaan, kita perlu menggunakan Bahasa Melayu.
Rundingan saya di luar negara juga merupakan urusan rasmi kerajaan. Oleh sebab itu, saya menggunakan Bahasa Melayu.

“Sudah sampai masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa kebangsaan… kita bertanggungjawab memperkasa Bahasa Melayu.

“Jadi, kita tidak ada sebab untuk rasa janggal dan berbahasa Melayu ketika di luar negara kerana orang lain boleh bangga dengan bahasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Bangkok, dekat sini pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Thailand, pada Sabtu.

Beliau turut memaklumkan telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama, ketika melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan terbaharu, Thailand.

Ketika mengadakan pertemuan dan mesyuarat terhad serta sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Jumaat, Ismail Sabri telah menggunakan Bahasa Melayu.

Beliau berkata, penduduk ASEAN paling banyak menggunakan Bahasa Melayu dan tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti, ia boleh dijadikan sebagai Bahasa ASEAN.

“Perkara ini mungkin boleh dibincang dengan pemimpin ASEAN pada masa depan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, enam negara ASEAN menggunakan bahasa sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemah manakala empat negara lagi menggunakan Bahasa Inggeris.

“Jika negara itu menggunakan bahasa mereka, kita akan menggunakan Bahasa Melayu. Sekiranya negara itu menggunakan Bahasa Inggeris, kita menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa kita sendiri (Bahasa Melayu),” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases