Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak mempersoal bagaimana timbul tohmahan bahawa rakyat menanggung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia berikutan, mantan Perdana Menteri itu mendakwa tidak ada satu sen pun wang rakyat digunakan untuk membiayai prinsipal hutang 1MDB.
Najib menjelaskan, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah wang rakyat, sebaliknya wang bank terbabit boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Katanya, beberapa dana lain termasuk daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), Ambank, firma audit KPMG dan Deloittes yang kesemuanya berjumlah RM23 bilion juga bukan wang rakyat.
“Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Hakikatnya, satu sen pun prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar (guna wang rakyat).
“Pada 2018 hutang 1MDB berjumlah RM32 bilion. Pada 2019 hutang RM32 bilion. Pada 2020 hutang RM32 bilion. Pada 2021 hutang RM32 bilion,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Justeru Najib menafikan tohmahan itu dengan menyifatkan tidak betul untuk mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu turut didakwa menyindir pemimpin Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) apabila tidak pula mendedahkan pembiayaian 1MDB terhadap projek menaik taraf pangkalan anggota pertahanan termasuk Pangkalan Udara Sendayan yang juga pangkalan udara terbesar negara.
Tegasnya, aset-aset itu boleh menambah pendapatan kerajaan dan rizab negara.
“Tidak pernah saya dengar Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) pernah sebut.
“Jadi, macam mana boleh timbulnya tohmahan bahawa rakyat yang akan menanggung hutang 1MDB?,” soalnya.