Oleh: ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Sejumlah RM1,340,783 kompaun telah berjaya dikutip dalam usaha membanteras pembalakan haram dan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang hutan di negeri ini.
Angka berkenaan diperoleh sejak tahun 2020 hingga April 2022 kata Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Daripada jumlah tersebut, ujarnya sebanyak 55 kes masih dalam siasatan pihak Jabatan Hutan Sarawak, 160 kes telah dikemukakan ke Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) dan Kamar Peguam Besar Negeri (SAG).
“Dari jumlah ini, 40 kes dikategorikan sebagai No Further Action (NFA), lima (5) kes telah disabitkan dengan kesalahan, 14 kes telah dikompaun, sepuluh (10) kes masih lagi dalam proses perbicaraan manakala baki 91 kes masih dalam pelbagai peringkat siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungannpada Persidangan Hari Kelapan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19 hari ini.
Tindakan tegas ini ujar beliau merupakan komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membanteras pembalakan haram dan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang hutan di negeri ini dengan menubuhkan Pasukan Gerak Khas Pembanterasan Pembalakan Haram.
Pasukan ini katanya berperanan untuk menyelaras pelaksanaan semua operasi bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan.
“Saya menyeru agar semua pihak bekerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang meragukan berlaku di kawasan masing-masing,” katanya pagi.
Menurut Awang Tengah bantuan orang ramai membolehkan tindakan awal dapat diambil untuk aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang yang menyebabkan kemusnahan ekosistem hutan dan ketirisan hasil kepada Kerajaan Sarawak.