Mohd Nor Wahid
MASALAH kekurangan bekalan makanan asas di Labuan dijangka dapat diatasi menerusi penghantaran bekalan secara berperingkat, hasil inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pihaknya akan menghantar bekalan tersebut yang bermula hari ini menerusi lima kali penerbangan ihsan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dijangka selesai sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, barangan tersebut akan dijual dengan harga subsidi yang diberikan oleh KWP menerusi dua pemborong yang dilantik dan diuruskan oleh Perbadanan Labuan (PL) di lokasi yang ditetapkan.
“Sebanyak 1.25 juta butir telur ayam dan 42,500 paket minyak masak yang akan dijual kepada penduduk Labuan.
“Setiap satu isi rumah dihadkan kepada satu paket minyak masak 1 liter harga pasaran RM2.50 dan di jual dengan harga RM2 manakala satu papan telur ayam gred C harga pasaran RM13.20 akan dijual dengan harga RM10 sahaja.
“Selain masalah kekurangan bekalan, barangan ini juga dijual pada harga yang lebih tinggi di Labuan susulan isu logistik, jadi jualan ini diharap dapat mengurangkan beban rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan pelepasan penerbangan pertama bekalan makanan tersebut terdiri daripada 250,000 telur ayam dan 8,500 paket minyak masak menerusi Inisiatif Jaminan Bekalan Makanan Untuk Labuan di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Datuk Seri Amir Hussein.
Sementara itu, mengulas berkenaan isu banjir kilat yang melanda ibu negara semalam, Shahidan berkata, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan mendapatkan maklumat mangsa dan bantuan sewajarnya akan diberikan.