Mohd Nor Wahid
APAKAH dosa seorang pemilik rumah ini kerana hampir setiap hari kediamannya dibaling mercun sehingga dia terpaksa memasang kamera litar tertutup (CCTV).
Namun tindakannya itu nyata berbaloi apabila berjaya membongkar aksi nakal dua remaja yang sengaja melempar mercun ke arah kediaman orang lain.
Menerusi klip video berdurasi satu minit yang dimuat naik di laman Facebook Aku Budak Kluang, kelibat dua remaja itu bersembunyi di sebalik pokok sebelum membaling mercun ke arah rumah itu.
Berdasarkan keterangan di ruangan kapsyen menjelaskan kejadian itu berlaku di Jalan Sawi, Yap Tau Sah, Kluang Johor pada 7 April lalu.
“Tuan rumah sering diganggu, sehingga tuan rumah terpaksa pasang CCTV untuk merakam bukti. Adik-adik ini amaran terakhir dari tuan rumah, jika mereka masih diganggu mereka akan buat laporan polis,” tulis hantaran itu.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam perbuatan dua remaja itu, dan berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera kerana ia melibatkan ketenteraman awam.
“Report polis je, nanti berlarutan. Nampak gaya macam budak-budak itu berdendam. Sebelum dibaling yang lebih bahaya,” kata Azmir Osman.
“Tak perlu warning lagi dah.. report je terus kat balai. Budak macam ni la menyusahkan orang lain nak main mercun bunga api nanti,” kata Namaku Najib.
Tidak ketinggalan juga, ada beberapa komen yang mengimbau aksi ketika zaman kanak-kanak semasa bermain mercun serta bunga api di bulan Ramadan.
“Ingat lagi zaman kecil-kecil dulu baling mercun kat rumah orang. Kena perambat dengan parang,” kata Juki Kawa Saki.
“Maaf ya, kadang-kadang kita terlupa perbuatan kita dulu. Kita pun pernah main mercun sampai 1 2 pagi. Boleh tahan kuat bunyinya,” kata Kim Aimar. – END