spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Pensyarah perlekeh B40 ‘digantung’ kerja sementara

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM : Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil keputusan merehatkan pensyarah kontrak yang tular kerana memperlekeh pelajar golongan B40 kerana tidak mempunyai komputer riba, mulai 1 April hingga siasatan berkaitan insiden itu selesai.

UiTM melalui Jabatan Komunikasi mengeluarkan kenyataan terbabit selepas keputusan dibuat menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU), pada Jumaat.

“Profesor Dr Roshana Takim direhatkan daripada tugasan pengajaran mulai 1 April sehingga siasatan lengkap dilaksanakan oleh UiTM.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” kata kenyataan itu semalam.

Dalam kenyataan sama, pihak UiTM memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja atau tidak sehingga boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warga universiti.

Justeru, pihak universiti tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran yang mengelirukan.

“UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan pelajarnya.

“Dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.

“Penilaian dan pemantauan terhadap Profesionalisme Pensyarah (PRO-PENS) yang dibuat secara rawak setiap semester juga boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat serta pelanjutan kontrak perkhidmatan,” jelas kenyataan itu.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat memaparkan pensyarah wanita terbabit memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.

Menerusi rakaman itu, pensyarah wanita kontrak UiTM itu turut mengarah pelajar berkenaan meminta kakaknya menjual gelang emas bagi membeli komputer riba untuknya.

Terdahulu, UiTM membuat laporan polis selepas dokumen dalaman mengenai laporan kronologi siasatan kejadian yang disediakan universiti itu, tular pula di media sosial.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dilaporkan berkata, laporan polis itu dibuat bagi melindungi mahasiswa dan kakitangannya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases