Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR : Realiti untuk sesebuah negara bangkit selepas dua tahun berhadapan krisis kesihatan global yang bukan sahaja mengancam nyawa, ekonomi negara tetapi pelbagai aspek kehidupan bukanlah mudah.
Kerajaan tidak mampu bertindak sendirian, perlukan idea dan cadangan dari pihak kawan dan lawan untuk bangkit semula selepas kejatuhan yang dahsyat.
Namun kekangan politik dan perbezaan menjadikan ada idea dan cadangan baik pemulihan dan solusi terpinggir ke dasar sepi.
Atas dasar inilah, Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menubuhkan majlis tindakan bersama dinamakan Majlis Negarawan Berjasa sebagai saluran menggabungkan sumbangan idea, tenaga dan buah fikiran.
Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, majlis itu dipengerusikan Naib Presidennya, Abdul Aziz Sardan dan dianggotai oleh 10 tokoh daripada pelbagai latar belakang mencakupi bidang pendidikan, ekonomi, rakyat, dasar luar negara, sosial, alam sekitar, pertahanan, sekuriti makan, teknologi dan data sains.
“Majlis Negarawan Berjasa bakal menyediakan pasukan profesional berpengalaman dan berkepakaran tinggi untuk partinya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kita himpunkan cerdik pandai dan kepakaran. Walapupun tidak terbabit dalam politik tetapi mungkin ada idea bernas boleh bawa untuk diperhalusi, disusun atur untuk rakyat dan negara.
“Mereka sangat banyak pengalaman, jangan kita pinggirkan mereka kita perlu idea mereka bersama pemimpin.
“BERJASA amat yakin dan percaya dengan penubuhan majlis ini bakal memberi nafas baharu dalam menampilkan solusi terhadap isu-isu besar negara seterusnya membantu parti mengetengahkan dasar-dasar berwibawa dan mampan untuk rakyat.
“Majlis ini juga menjadi semak dan imbang kepada dasar-dasar dan keputusan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar sambutan Hari Raya Aidilfitri Parti Berjasa, di Hotel Tamu, semalam.
Yang hadir sama ialah Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; Ketua Koordinator Parti Warisan Johor merangkap bekas ADUN Kukup, Suhaimi Salleh; Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak dan Naib Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tengku Muid serta wakil Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Dalam pada itu, kata Zamani, partinya menerima permohonan pendaftaran kemasukan ahli baharu yang cukup memberangsangkan dalam tempoh beberapa bulan ini.
Katanya, sebilangan besar keahlian yang diterima merupakan barisan tokoh berpengaruh terdiri dalam kalangan ahli akademik, bekas ketua-ketua pengarah jabatan kerajaan dan aktivis politik.
“Ini merupakan tanda sokongan amat jitu terhadap agenda perjuangan besar parti selaras dengan identiti Berjasa iaitu kepimpinan baharu bercita-cita untuk membangunkan Malaysia sebagai negara unggul dan bermaruah.
“BERJASA yakin ramai dalam kalangan tokoh-tokoh besar yang menyertai relung perjuangan ini adalah mereka yang ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan bagi membantu merealisasikan wajah baharu dalam lanskap politik,” katanya