spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Zahidi kata batal MoU, Ku Li cadang pecat Menteri, Timbalan Menteri

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dilihat terbatal sekali gus Parlimen boleh dibubarkan sebagai langkah terbaik mempercepatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia berikutan, hubungan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang untuk bersetuju melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi tempoh lima tahun lagi, dilihat gagal.

Bukan sahaja blok pembangkang tidak bersetuju dengan usul kerajaan di Parlimen, Rabu lalu, tetapi terdapat juga kumpulan kerajaan dalam kalangan UMNO yang dipercayai sengaja tidak hadir pada sesi usul itu.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa antara yang tidak hadir malah beberapa wakil kerajaan pun sengaja mengundi tidak setuju.

Saranan itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin selepas mendapati MoU yang termeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada September lalu itu gagal susulan penolakan usul berkenaan.

Datuk Zahidi Zainul Abidin

Ia sekali gus mencerminkan ketidakstabilan politik negara ketika ini.

“Kita melihat bahawa lebih baik kita batalkan MoU itu. Ini (SOSMA) menunjukkan mereka tidak bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Jadi apabila dalam kalangan UMNO juga tidak bersetuju dengan usul ini, lebih baiklah kita buat PRU dengan membubarkan Parlimen.

“Jika tidak stabil, maka tidak adalah pelabur yang ingin membuat pelaburan di negara kita menyebabkan ekonomi negara sukar berkembang sehingga menyukarkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Cambah Minda bersama Komuniti Keluarga Malaysia di Pusat Media sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Besar serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, pilihan raya adalah jalan terbaik kerana ia juga adalah hasrat perwakilan ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.

Pada Rabu lalu, ahli parlimen pembangkang dan beberapa ahli parlimen kerajaan didakwa melanggar MoU Transformasi dan Kestabilan Politik apabila menolak usul dikemukakan kerajaan berkaitan SOSMA di Dewan Rakyat.

Tindakan berkenaan menyebabkan Dewan Rakyat gagal meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa usul berkenaan untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah dibahaskan oleh 19 ahli parlimen yang mengambil bahagian.

Selepas keputusan undian belah bahagi, hanya 85 Ahli Parlimen yang menyokong, manakala 86 lagi menolak, selain 50 lagi tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Subseksyen itu bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah Sosma sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Dalam perkembangan sama, di Ipoh, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir ketika sesi pengundian usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan SOSMA di Parlimen, pada 23 Mac lalu itu, dipecat.

Katanya, penolakan usul kerajaan itu tidak sepatutnya berlaku jika anggota kabinet hadir di Dewan Rakyat malah belum pernah berlaku sepanjang beliau menjadi ahli Parlimen.

“Sepatutnya tak boleh kalah usul yang kerajaan buat (bentangkan). SOSMA satu usul yang penting soal keselamatan negara, macam mana boleh ditolak dan menteri-menteri tak hadir. Menteri-menteri kena berhenti (letak jawatan) semua. Perdana menteri mesti pecat menteri, timbalan menteri yang tak hadir.

“Mereka mesti dipecat daripada kerajaan kerana mereka cuai, ia ‘collective responsibility’ apabila usul seumpama itu nak jaga keselamatan negara tak diendah, tak dipeduli sehingga ditolak oleh Dewan Rakyat, bererti menteri itu tak bertanggungjawab, simpan buat apa?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Melayu Perak kesembilan di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Taman Cempaka di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau yang mesra dengan panggilan Ku Li itu mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mampu mengambil tindakan sedemikian kerana kedudukan di dalam kabinet sangat rapuh.

Katanya, tindakan memecat anggota kabinet akan mengakibatkan hilang sokongan untuk Ismail Sabri kekal menjadi Perdana Menteri.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases