spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Menteri Luar tak ‘gentleman’ tamat kontrak – Eizlan Yusof

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Tindakan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah didakwa tidak ‘gentleman’ apabila menamatkan khidmat Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Datuk Seri Eizlan Yusof, masing-masing sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Perunding Kreatif di Kementerian Luar, tanpa sebab.

Saifuddin mengumumkan kontrak Ahmad Idham, Eizlan dan setiausaha sulitnya, Datuk Fizal Fauzi sudah ditamatkan.

Eizlan dipetik berkata kepada BH Online meluahkan rasa kecewanya terhadap tindakan menteri luar dan kementerian berkenaan kerana tidak dimaklumkan sebarang alasan mereka ‘ditendang’ daripada kontrak berkenaan.

Malah, mendakwa mereka yang terbabit tidak dipanggil untuk berbincang dan tiada sebarang penjelasan diberikan.

Secara peribadi, Eizlan berkata, dia mahukan penjelasan kerana pihaknya sudah memberikan khidmat terbaik, malah tidak berkira sepanjang menjalankan perkhidmatan.

“Sebenarnya, saya dan Ahmad Idham tiada jawapan kenapa keputusan (tamat) ini diambil. Menteri juga tidak memanggil kami untuk berbincang dan sebagainya. Jadi, kami tak tahu sebabnya.

“Justeru, kami rasa ini adalah satu tindakan tidak ‘gentleman’ (budiman) daripada menteri. Ini kerana kami menyertai Wisma Putra secara baik, jadi panggil kami untuk berbincang secara baik sekiranya perkhidmatan tidak diperlukan.

“Kami menghormati keputusan menteri, cuma ralat tidak dipanggil berbincang. Itu yang membuatkan saya agak sedih sebab kami umpama ditendang tanpa sebab,” katanya.

Eizlan dan Ahmad Idham ditemui pada sidang akhbar tergempar bagi menjawab persoalan ditamatkan perkhidmatan secara maya, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Eizlan berkata, dia dan Ahmad Idham mengikut arahan kementerian menjalankan tugas masing-masing sejak hari pertama berkhidmat.

“Sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya bertanggungjawab atas unit ini kenalah beritahu sekiranya berlaku kekurangan dan sebagainya.

“Boleh sahaja panggil untuk memberi penerangan agar perjalanan dalam pekerjaan lebih jelas dan terang.

“Namun, tak mengapa, itu hak menteri untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan kami. Cuma, isunya, atas sebab apa? Itu yang menjadi persoalan,” katanya.

Eizlan menjelaskan, pihaknya berkhidmat atas kapasiti sukarelawan untuk membantu membawa industri kreatif ke peringkat global.

“Duit saya sendiri pun keluar. Namun, disebabkan mahu menyokong dan mahu membangunkan industri kreatif, ini adalah ruang yang terbaik untuk anjakan industri tempatan.

“Kami sanggup berjuang bersama walaupun tiada gaji atau elaun satu sen pun. Tetapi, saya tidak pernah merungut sebab ada tanggungjawab lebih penting untuk dipikul,” katanya.

Disebabkan usaha sudah diberikan, Eizlan berkata, dia merasakan tidak wajar diberikan layanan sedemikian kerana tidak meminta walau satu sen duit kerajaan.

Eizlan bagaimanapun, lebih ralat apabila dimaklumkan terdapat laporan media yang mendakwanya dan Ahmad Idham melobi untuk membabitkan diri dalam bidang politik.

“Ini satu perkara yang sangat kelakar sebab menteri sendiri tahu pendirian dan pandangan kami mengenai dunia politik.

“Kami sudah pun berbincang dengannya (Menteri). Jadi, apabila dakwaan ini keluar daripada sumber, kita tidak boleh mengatakan perkara ini sahih,” katanya.

Pada Khamis, Saifuddin mengumumkan kontrak Ahmad Idham, Eizlan dan, Fizal sudah ditamatkan.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak menyebut secara spesifik tarikh kontrak ditamatkan.

Ahmad Idham seorang pengarah dan pelakon yang meninggalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar, berkuat kuasa 1 November 2021.

Eizlan Yusof yang juga penerbit, pelakon dan pengarah itu turut dilantik sebagai Perunding Kreatif di kementerian itu bagi tempoh sama.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases