spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

ADUN Buloh Kasap pantas hulur bantuan mangsa terjejas ribut

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

SEGAMAT : Ini kali pertama kejadian ribut luar biasa berlaku di kawasan ini, sebelum ini tak ada.

Ketika itu, saya dalam keadaan ketakutan apabila bumbung rumah diterbangkan angin kencang, hanya mampu bertenang walaupun bunyi kuat berdentam-dentum, angin kuat berpusing-pusing diluar.

Habsah Umar, 57, menunjukkan serpihan bumbung rumahnya diterbangkan angin, di Taman Astakajaya, Buloh Kasap di Segamat mengenai bumbung rumah jiran di sebelah taman perumahan.

Demikian detik cemas dikongsikan Habsah Umar, 57, selepas rumahnya di Lorong Astakajaya 18, Taman Astakajaya, Buloh Kasap di sini, antara kira-kira 20 kediaman di kawasan terbabit terjejas dalam kejadian ribut dan hujan lebat, petang semalam.

Bercerita lanjut, Habsah berkata bersama anak lelakinya, Roslan Ramli, 33, berada di rumah ketika kejadian ribut hujan kira-kira jam 3.30 petang.

“Saya tengok pasu bunga di luar rumah berayun. Saya sangka hanya air bocor di bahagian bawah akibat tempias dari luar, tiba-tiba anak lelaki panggil mengatakan biliknya banjir akibat bocor dari bumbung tercabut di tingkat atas. Tangga juga ditakungi air.

“Saya kemudian bergegas menghubungi jiran melalui Whatsapp untuk bertanya keadaan rumah masing-masing sebelum memaklumkan kejadian itu kepada wakil taman perumahan,” katanya yang hampir 14 tahun mendiami kawasan itu.

Katanya, bumbung rumahnya yang tercabut itu turut mengenai bumbung rumah jiran di taman perumahan sebelah menyebabkan ia turut rosak.

Habsah dan beberapa jiran turut terjejas bagaimanapun mengucapkan syukur kerana masih selamat dalam kejadian berkenaan.

Mereka turut menzahirkan ucapan terima kasih terhadap keprihatinan dan kepantasan wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip dalam membantu membaik pulih kerosakan akibat bencana itu.

Muhd Farish Iskandar Shafezuan, 14, menunjukkan arah siling rumah pecah dan rosak akibat hujan ribut, petang semalam.

“Terima kasih YB (Yang Berhormat Datuk Zahari) kerana cepat dalam tindakan membantu baik pulih kerosakan rumah. Semalam bagitahu, hari ini dah ada yang datang baiki,” kata Habsah.

Seorang lagi mangsa terjejas, Muhd Farish Iskandar Shafezuan, 14, bersama adik perempuannya berusia 11 tahun, berada di rumah menonton televisyen ketika kejadian, turut terkejut apabila mendapati siling bilik di tingkat atas, turut pecah selain bumbung rosak.

“Saya terdengar bunyi jatuh, mungkin bunyi bumbung. Apabila naik ke atas, siling pecah dan hujan terus mencurah ke dalam bilik. Saya terus menghubungi ibu yang sedang bekerja di kedai makan untuk segera bergegas pulang,” katanya memaklumkan hanya mengalami kerosakan kecil membabitkan barangan rumah.

Difahamkan, kejadian angin kuat turut menjejaskan tapak perniagaan sehingga merosakkan beberapa khemah peniaga, di Taman Yayasan di sini, dalam tempoh sama.

Sementara itu, Zahari yang juga Ketua UMNO Bahagian Segamat, berkata pihaknya menghulurkan bantuan segera kepada mangsa terjejas ribut di kawasan terbabit sejurus melawat di beberapa kawasan berkenaan, petang yang sama.

“Mengikut laporan diterima, kira-kira 20 bumbung rumah di kawasan Taman Astakajaya manakala sebanyak 12 khemah gerai di Pasar Tani Taman Yayasan, rosak akibat ribut petang semalam.

“Kita akan menghulurkan bantuan kecemasan dengan membaik pulih bumbung rumah yang terjejas, dan peniaga yang terlibat dengan peruntukan RM300 bagi satu khemah,” katanya ketika dihubungi WacanaKini.com, hari ini.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases