spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

SRC : Mahkamah guna logik, rasional sendiri, bercanggah bukti – Najib

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, di sini, didakwa terkhilaf dalam urusan undang-undang dan fakta yang dibuat oleh kedua-dua mahkamah dalam penghakiman masing-masing berhubung kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Dakwaan itu dibuat melalui petisyen rayuan kes terbabit yang difailkan oleh Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, lewat petang, Isnin semalam.

Antara alasan yang disebut adalah kedua-dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan, telah menggunakan logik dan rasional sendiri yang bercanggah dengan bukti yang membebaskannya daripada tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT), dan pengubahan wang haram.

Berdasarkan salinan petisyen rayuan itu, Najib yang juga bekas penasihat emeritus kepada SRC mendakwa Mahkamah Rayuan telah tersilap dari segi fakta dan undang-undang dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kesahihan dan kebolehterimaan dokumen.

Semasa peringkat perbicaraan, pasukan pembela Najib telah mengemukakan bukti dokumentari yang didakwa untuk menyokong pembelaannya melibatkan derma yang dikatakan daripada royalti Arab.

“Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi telah tersilap fakta dan/atau undang-undang dalam membuat penemuan mengenai unsur-unsur semua pertuduhan dengan menggunakan logik atau rasional mereka sendiri bercanggah dengan keterangan lisan dan/atau dokumen.

Hujahan akan dikemukakan bahawa hak perbicaraan adil perayu (seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan dituntut oleh prinsip sejagat dan norma antarabangsa) dinafikan khususnya disebabkan oleh kegagalan yang jelas oleh pihak pendakwaan untuk membuat pendedahan pra-perbicaraan yang perlu bagi bahan yang tidak digunakan dan secara amnya dengan ketiadaan rejim yang ketat dan mandatori untuk pendedahan bahan yang tidak digunakan yang mampu menjejaskan kes pendakwaan atau membantu kes perayu.

“Secara keseluruhannya, perayu akan membentangkan kesilapan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta tindakan pihak pendakwaan yang telah menafikan hak perayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan mengakibatkan ketidakadilan yang serius kepada perayu apabila dia gagal mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama,” kata Najib.

Justeru, Najib berasa kecewa dengan keputusan kes berkaitan dengannya itu, mendakwa kedua-dua mahkamah tersilap dalam fakta dan undang-undang apabila gagal menilai bukti dengan betul.

Malah, katanya, mahkamah berkenaan gagal mengiktiraf perbezaan antara fakta terbukti dan tidak terbukti, antara inferens yang boleh dibuat dan tekaan semata-mata berdasarkan cadangan, dakwaan tidak berasas, sangkaan, syak wasangka dan khabar angin.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memberikan masa tambahan iaitu sehingga lewat petang semalam bagi memfailkan petisyen rayuan.

Media sebelum ini melaporkan, Najib didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020. Sabitan dan hukuman bekas perdana menteri itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Dis 2021.

Bagaimanapun, terdapat penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, sementara menunggu rayuan diselesaikan.

Mahkamah Persekutuan masih belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan utama kes SRC Najib.

Najib juga sedang memohon untuk mendapatkan Queen’s Counsel (QC) dari United Kingdom untuk mewakilinya dalam rayuan itu.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases