spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

BN ada strategi tersendiri, tunggu masa sesuai umum calon

- Advertisement -spot_img

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) akan menunggu masa yang sesuai serta ‘lampu hijau’ daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum mengumumkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, parti tidak perlu terikut-terikut dengan strategi parti lain yang sudah mula memperkenalkan calon mereka sejak semalam.

Beliau percaya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengarah PRN Johor mempunyai pendekatan tersendiri dalam soal penamaan calon dan masa terbaik untuk berbuat demikian.

“Dalam konteks penamaan calon ini, kita tidak terlalu terkesan terhadap apa yang pihak lain buat. Saya yakin apa Presiden UMNO dan Timbalannya serta Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Hasni Mohammad ada pendekatan dan strategi mereka.

“Soal kita nak namakan calon ini biarlah kepimpinan parti putuskan siapa dan ‘timing’ kerana UMNO dan BN tidak terikat dengan kaedah atau pendekatan parti lain,” katanya selepas mengadakan Sesi Dialog Santai Bersama Mahasiswa Johor, di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

 

Rabu lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, parti sedang meneliti calon yang akan diketengahkan pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Setakat ini kita masih terus meneliti calon yang berpotensi di setiap kawasan DUN berdasarkan prinsip kebolehmenangan, penerimaan dan calon disukai pengundi.

“(Bagi calon daripada UMNO) kita sudah meminta Menteri Besar (Hasni) untuk berunding dengan setiap Ketua UMNO Bahagian kerana perlembagaan UMNO menentukan bahawa sebarang calon mestilah selepas berbincang dengan Ketua UMNO Bahagian,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan golongan mahasiswa Johor, Shahril Sufian memberitahu, banyak percambahan idea dan pertukaran maklumat mengenai PRN serta kehendak golongan muda yang diharap diterjemahkan oleh parti.

“Ini adalah usaha berterusan parti yang sentiasa mendampingi orang muda serta mendengar suara mahasiswa untuk pastikan perjuangan, hujah dan penyampaian serta pengisian kita adalah serasi dan relevan.

“Tidak boleh nafikan dalam konteks PRN Johor, keperluan jadi lebih mendesak dan penting supaya kita benar-benar memahami aspirasi Undi18. Ini antara usaha awal dalam tempoh PRN ini untuk kita perhalusi konteks Undi18 ini,” ujarnya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases