Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Tiada modal lain, menjelang Pilihan Raya Negeri/Pilihan Raya Kecil (PRN/PRK), cerita pemimpin UMNO ditekan bawa ‘fail’, buat rundingan dan itu ini, menjadi kemestian muncul daripada si penjaja cerita.
Jika tiada PRN/PRK, tiada fail, tiada rundingan, maka tiada si penjaja cerita maka semua cerita dikatakan itu seperti tidak perlu didedahkan.
Muhyiddin mendakwa, fail yang dibawa Ahmad Zahid itu kerana dipercayai mahu meminta pertolongan untuk dilepaskan dari tuduhan mahkamah.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan, beliau sedia melafazkan sumpah laknat bagi menafikan dakwaan itu, malah mencabar Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU melakukan perkara sama.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyatakan kesanggupannya kerana menolak dakwaan tidak pernah mengadakan pertemuan bersama Muhyiddin atas alasan berkenaan.
Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata, dakwaan Muhyiddin semata-mata timbul hanya strategi menyerang UMNO di peringkat nasional menjelang musim pilihan raya yang merujuk kepada PRN Johor tidak lama lagi.
“Saya tidak pernah pergi berjumpa dengan Muhyiddin ketika beliau menjadi perdana menteri untuk meminta tolong dilepaskan dari tuduhan mahkamah.
“Apatah lagi dengan membawa timbunan fail seperti yang didakwa dan minta untuk dilepaskan.
Bagi membuktikan kebenaran ini, saya sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin ke atas saya,” katanya dalam hantaran Facebook, pada Ahad.
Muhyiddin dilaporkan, berkata dalam pertemuan itu, beliau berkata kepada Ahmar Zahid bahawa jika Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak bersalah, perlu melalui proses perbicaraan di mahkamah.
Muhyiddin mendakwa, ketika pertemuan itu, fail yang dibawa Ahmad Zahid itu dipercayai mahu meminta pertolongan untuk dilepaskan dari tuduhan mahkamah.
“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri (Muhyiddin) ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan),” dedah Muhyiddin tentang pertemuannya dengan Ahmad Zahid.
Zahid dalam hantaran sama, berkata kemungkinan ada lagi dakwaan seumpama itu dibangkitkan menjelang PRN Johor.
“Dalam cerita-cerita ini, prinsipnya mudah – kebenaran itu berpilih-pilih. Perkara yang dianggap jahat dan menyalahgunakan kuasa hanya akan menjadi salah dan jahat jika tidak menyebelahi pihak mereka.
“..Strategi mereka, jika tidak boleh menyerang calon-calon UMNO di Johor, alihkan perhatian ke drama di peringkat nasional,” kata mantan timbalan perdana menteri itu.
Untuk rekod, Ahmad Zahid diarahkan mahkamah untuk membela diri dalam 47 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana berpuluh juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi.
Ia melibatkan 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram ke atasnya.