Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 sudah menutup tirainya pada 28 Mac 2022. Rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi.
HUN 2022 satu jenama yang cukup besar maknanya dan besar juga harapannya untuk para usahawan kecil-kecilan agar mereka boleh ‘melompat lebih jauh’.
Jenama ini dhasratkan sebagai hari khas untuk menghargai sumbangan usahawan-usahawan negara ini.
Ironinya apa yang berlaku dari 24 hingga 28 Mac 2022 di PWTC tidak segah harapan usahawan-usahawan negara kita. Mari kita buat ‘post mortem’ demi kebaikan semua dan masa depan.
Begini kisahnya, program HUN 2022 telah direncanakan lebih awal namun tidak dapat dilaksanakan kerana pelbagai perlaksanaan SOP pandemik COVID-19 sejak Mac 2020.
Tiga kerajaan bertukar, tiga Menteri memiliki misi dan visi masing-masing untuk mengemudi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Ibarat kata orang tua-tua, gajah sama gajah bergaduh, kancil mati tersepit begitulah suasana yang berlaku ke atas rakyat apabila politik negara tidak stabil pastinya mencalar ekonomi negara.
Selepas PKP tamat, ruang pekerjaan dan perniagaan dibuka secara berperingkat sehingga kini semua bidang sudah bernafas kembali termasuk program usahawan seperti HUN 2022.
Namun, program yang dianjurkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ini dilihat tidak mendapat ‘sokongan padu’ seperti peruntukan khas daripada kementerian, bank tempatan pun tidak ambil ‘booth’ di program ini.
Sepatutnya mereka ambil peluang juga untuk mendekati usahawan selaku bakal pelanggan yang ada potensi untuk melanggani mereka.
Tanpa suntikan dana, pihak penganjur tidak dapat memberi promosi besar-besaran atau subsidi sewa tapak agar lebih meringankan usahawan-usahawan.
RM3,000 bagi satu lot dengan kurangnya pengunjung pastinya memberi kesan kepada lebih kurang 1,000 usahawan yang menyertai program empat hari ini.
Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada 26 Mac 2022 bagi merasmikan HUN 2022, belum cukup kuat untuk memastikan kehadiran pengunjung pada hari seterusnya.
Bukan sahaja tiada suntikan dana, suntikan semangat juga tiada apabila Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar tidak dapat hadir kerana ada tugasan lain menyampaikan anugerah kepada para usahawan berjaya di Majlis Makan Malam HUN 2022. Mewakili Noh adalah Setiausaha Politiknya yang menyampaikan amanat beliau.
Noh Omar seorang pemimpin yang amat prihatin kepada nasib usahawan, suaranya lantang bergegar di Parlimen jika bercerita bab nasib usahawan.
Namun untuk program HUN ini, mungkin ada ‘keciciran komunikasi’ atau maklumat yang tidak disampaikan sehingga tidak nampak tindakan segera boleh diambil untuk ‘selamatkan keadaan’.
Kehebatan seseorang pemimpin adalah siapakah barisan penasihatnya, jika betul nasihatnya betullah tindakannya, dan sebaliknya.
Itu yang kita belajar sejak zaman berzaman lebih awal dari Kesultanan Melayu Melaka.
Bagaimanapun desas-desus kurang enak didengari iaitu ada pihak tertentu menggunakan nama NGO untuk ‘kutip duit’ peniaga, itu antara punca tiada sokongan dari kementerian. Mungkin pihak kementerian boleh ulas isu ini.
Turut hadir pada majlis makan malam HUN itu sebagai membantu usahawan adalah, Angkasa dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang tidak putus-putus berkempen agar produk tempatan diketengahkan.
Bagi mereka, untuk memulihkan ekonomi dengan cepat, negara perlu rancakkan produk tempatan. Ambil iktibar peperangan Ukraine dan Russia menyebabkan timbul krisis bekalan makanan, jika kita tidak bergantung kepada mereka apa kita bimbang?
Semua pejabat Menteri ada saluran komunikasi dengan semua editor media untuk memberitahu pernyataan sesuatu program, seharusnya saluran ini digunakan dengan strategik.
Contoh media tertentu dijemput untuk temubual usahawan dari pelbagai negeri dan produk yang unik diketengahkan.
Program ini akhirnya menjadi seperti ‘carboot sale’ sahaja di PWTC yang tersohor.
Tahun depan, mungkin lokasi program perlu ditukarkan ke lokasi lebih strategik dengan kos yang membantu rakyat.
Pihak penganjur pula haruslah ambil iktibar walaupun tanpa sokongan Menteri, tanpa bajet iklan mereka seharusnya libatkan usahawan-usahawan itu membuat program iklan percuma di TikTok.
Beberapa wakil promosi boleh berada di stesen LRT PWTC dan pasaraya Sunway Putra mengedarkan pamplet program beberapa minggu sebelum program bermula.
Akhirnya, tiada kebangkitan tanpa jatuh! Yang baik ambil pengajaran, yang sebaliknya jadikan sempadan.