DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur segera melakukan tindakan pro aktif dengan membina halangan yang melibatkan 600 beg pasir di lokasi ‘hot spot’ banjir kilat di sekitar ibu negara.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya, DBKL telah mengenal pasti lokasi yang sering menerima limpahan air sungai dan membina halangan beg pasir sebagai langkah jangka pendek mengelakkan banjir kilat.
“Dimaklumkan urusan pemasangan sand bag (beg pasir) telah siap sepenuhnya di Jalan Rahmat malam ni juga. Semoga banjir kilat di kawasan ini dapat dielakkan atau setidaknya tidak sampai ke tahap yang serius.
“Jalan Rahmat merupakan satu kawasan yang ditanda sebagai salah satu lokasi hospot banjir kilat di Kuala Lumpur. Ini disebabkan kedudukan kawasan berkenaan yang berada lebih rendah dari paras sungai.
Ini merupakan penyelesaian jangka pendek sementara menunggu pelaksanaan penyelesaian jangka panjang yang akan bermula tidak lama lagi,” kata kenyataan itu, malam ini.
Menurut kenyataan itu, membuat halangan beg pasir itu adalah antara langkah interim bagi menangani banjir kilat yang diumumkan oleh Datuk Bandar baru-baru ini
“Adalah pemasangan sand bag (beg pasir), dan bagi Jalan Rahmat yang terletak bersebelahan sungai, sebanyak 600 unit beg pasir telah diletakkan di kawasan berkenaan sehingga kini.
“Jumlah tersebut akan ditambah lagi mengikut kesesuaian,” katanya.
Terdahulu, beberapa lokasi di ibu negara mengalami banjir kilat akibat hujan lebat yang turun hari ini. – Wacanakini