spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Terkhilaf dalam siasatan, lelaki bebas hukuman gantung

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

PUTRAJAYA : Tiada perasaan yang dapat digambarkan kecuali tangisan hiba dan penuh kesyukuran selepas keluarga mantan pekerja bengkel membaiki sofa dimaklumkan lelaki berkenaan terlepas hukuman gantung sampai mati.

Kejadian itu berlaku sejurus selepas Mahkamah Rayuan di sini, semalam melepas dan membebaskan lelaki berkenaan, Ahmad Kamil Anuar, 37, daripada kesalahan mengedar dadah sekali gus membatalkan hukuman berkenaan.

Sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, bapa Ahmad Kamil dilihat menangis dan mendekati anaknya sambil menggosok kepala lelaki itu dengan lembut sebelum pergi menenangkan menantunya kemudian, yang turut menangis teresak-esak.

Pada 28 September 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Ahmad Kamil selepas dia didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis dengan berat kasar 1.6 kilogram pada pukul 3.45 petang, 7 Oktober 2018 di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju.

Lelaki terbabit berada dalam reman sejak ditahan pada 7 Oktober 2018.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati.

Bagaimanapun, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said dan bersidang bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah di Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan untuk membebaskan Ahmad Kamil daripada pertuduhan terbabit.

Ini kerana, pihak mahkamah mendapati Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mensabitkan lelaki berkaitan dengan kesalahan mengedar dadah itu.

“Kami mendapati memang terdapat kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang di Mahkamah Tinggi.

“Kami berpuas hati sabitan adalah tidak selamat untuk dikekalkan. Oleh itu, sabitan diketepikan dan perayu dilepaskan dan dibebaskan,”kata Hakim Kamaludin ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim @ Husaini manakala Ahmad Kamil diwakili peguam bela, Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Terdahulu, dalam hujah rayuan peguam bela, Ahmad Zaharil memberitahu, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila gagal mengambil kira bahawa pegawai penyiasat kes tidak menjalankan penyiasatan menyeluruh dan konklusif.

“Sewaktu perbicaraan, ketika ditanya kenapa tidak membuat ujian cap jari pada barang kes, pegawai penyiasat boleh menjawab buang masa.

“Alasan yang diberikan oleh pegawai penyiasat adalah amat mendukacitakan apabila beliau menyatakan permohonan tidak dibuat untuk menjimatkan masa,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases