Mohd Nor Wahid
SELAYANG : Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) kesal terhadap dakwaan kononnya peniaga warga asing dibiarkan bermaharaja lela di Pasar Harian Selayang.
Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Abdullah berkata, terdapat pihak tertentu yang sengaja mereka cerita putar belit kerana mahu memburukkan pihak berkuasa terutamanya reputasi Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Saya menyangkal dakwaan dan tohmahan yang dilaporkan sebuah portal kononnya kerajaan dan Menteri Wilayah Datuk Seri Dr Shahidan Kassim tidak memperdulikan nasib kami peniaga tempatan.
“Saya tak tahu apa motif mereka, tapi nampak sengaja mahu memburukkan kerajaan, Datuk Seri Shahidan yang sebenarnya telah banyak membantu para peniaga di sini.
“Datuk Seri Shahidan macam-macam cara dia bantu, terutamanya kita dalam fasa untuk kembali bangkit selepas PKP, banyak inisiatif, ruang niaga baru diberikan kepada peniaga.
“Jadi janganlah tuduh menteri tak buat kerja, kerana setahu saya siapa pun yang pernah menjadi Menteri Wilayah tak pernah tak tolong kami. Dulu Annuar Musa, sekarang Alhamdulillah Datuk Seri Shahidan pun banyak bantu peniaga,” katanya.
Mohamad berkata demikian pada sidang media khas anjuran PPPKMKWP di Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikan sebagai maklum balas mengenai laporan media wujudnya beberapa peniaga warga asing yang membuka gerai di sekitar Pasar Harian Selayang.
Dalam laporan berkenaan, kewujudan peniaga antaranya dari Myanmar dan Bangladesh di pasar tersebut didakwa dilindungi pihak tertentu malah menganaktirikan peniaga tempatan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kewujudan peniaga warga asing adalah disebabkan adanya permintaan daripada masyarakat.
“Mereka boleh berniaga di sini sebab ada pembeli, mereka buka kedai dan masyarakat di sini sokong. Contoh sayur-sayuran rosak peniaga buang dia ambil dan jual, lepas itu peraih di flat ambil dan jual di sana. Jangan bantu mereka, kebanyakan mereka ambil dari situ.
“Yang saya nak tekankan semua menteri memainkan peranan kalau mereka tak bantu kita akan bagitau mereka (menteri) tak bantu,” katanya.