KUALA LUMPUR : Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan kini menyantuni 145 asnaf, tujuh masjid dan tiga surau Jumaat di Lembah Pantai.
Penerima adalah terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya dan mereka yang kurang kemampuan menerima RM200 setiap seorang.
Program dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dilaksanakan secara strategik bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan dan McDonald’s Malaysia.
Peruntukan sumbangan adalah melalui Tabung Amanah KWP dan Baitulmal MAIWP disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani berkata, rakyat Lembah Pantai bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan Shahidan yang menyantuni asnaf di parlimen ini.
“Tiada yang lebih bermakna pada bulan Ramadan, bulan mulia ini apabila Shahidan sanggup turun beramah mesra, berbuka puasa, solat Tarawih bersama-sama semua peringkat masyarakat di sini.
“Kita juga berharap usaha ini dipertingkatkan lagi dan lebih ramai penerima akan terima manfaat pada masa-masa akan datang.
“Peranan pihak masjid dan surau dalam mengenal pasti asnaf di kawasan masing-masing juga akan diperluaskan, memang tujuan utama YB Menteri adalah menaiktaraf peranan masjid dan surau agar lebih dekat dengan masyarakat,” katanya kepada Wacanakini.com ketika hadir mengiringi Shahidan ke Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan menyantuni asnaf Lembah Pantai di Masjid Ar-Rahah Bangsar South di sini malam tadi.
Pada majlis berkenaan, penerima turut menerima sumbangan barangan keperluan seperti periuk nasi, beras dan kurma yang membabitkan peruntukkan RM16,675.
Pihak masjid dan surau menerima RM1,000 setiap satu dan jumlah sumbangan keseluruhan adalah berjumlah RM30,000 bagi mengimarahkan suasana Ramadan.