SEMPENA bulan Ramadan bulan untuk melipatgandakan ibadah dan mengumpul pahala, Festival Ramadan Putrajaya 2022 (FRP2022) pada tahun ini dijenamakan semula dengan diberi nafas baharu iaitu Program Ihya’ Ramadan.
Penjenamaan semula itu adalah inisiatif Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang berkata, ianya lebih dekat dengan bulan Ramadan.
“FRP2022 ditukar kepada Program Ihya’ Ramadan yang juga membawa maksud menghidupkan Ramadan. Nama ini akan dikekalkan untuk tahun-tahun seterusnya,” ucapnya di majlis perasmian Ihya’ Ramadan 2022 di Anjung Syawal, Perbadanan Putrajaya (PPj), Putrajaya, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar dan Naib Presiden Kanan PPj Datuk Fadlun Mak Ujud.
Menurutnya, terdapat empat komponen dalam program tersebut iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar.
“Bagi bazar Ramadan terdapat 160 gerai dibuka dan Anjung Syawal pula menempatkan lebih 135 peniaga dalam khemah berhawa dingin yang menjual keperluan Hari Raya.
“Pelbagai program menarik diadakan bagi mengimarahkan Ramadan di Putrajaya antaranya ceramah agama.
“Tidak ketinggalan juga program ini turut diserikan dengan penampilan selebriti antaranya Noraniza Idris, Zarina Zainuddin, Azan Scan yang turut membuka gerai jualan produk masing-masing,” ucapnya lagi.
Dalam pada itu, Shahidan turut mencadangkan pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk menambah baik sesi cabutan bertuah seperti menyediakan hadiah menarik kepada 10 pengunjung terawal.
“Mungkin pihak PPj boleh memberi hadiah seperti motosikal, basikal dan sebagainya. Ini adalah antara inisiatif yang wajar dilakukan kerana Putrajaya merupakan destinasi pelancongan menarik wajib dikunjungi ramai,” kata beliau.
Beliau juga turut berharap Program Ihya’ Ramadan mendapat sambutan menggalakkan bagi merancakkan kembali ekonomi di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan. – Wacanakini