KUALA LUMPUR : Seramai 41 orang gelandangan diselamatkan menerusi Operasi Bersepadu di tujuh kawasan ‘panas’ sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Penyelamatan dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) dengan usahasama oleh Jabatan Penguatkuasaan (JPK) dan Jabatan Kesihatan (JKAS) dibantu bersama agensi sahabat.
Menerusi kenyataan dari Facebook rasmi DBKL, operasi dilancarkan dari jam 11 malam hingga 3 pagi, meliputi 39 lelaki dan dua perempuan.
Gelandangan di kalangan bukan warga negara adalah tujuh lelaki (pecahan bangsa Lebanon (1), Nepal (1), India (2), Bangladesh (1), Myanmar (1) Dan Indonesia (1).
Lokasi pencarian melibatkan Jejantas UTC Pudu, Mydin Jalan Silang, Jejantas LRT Pasar Seni, Bangkok Bank, Agrobank Central Market, HSBC Masjid Jamek dan Masjid Negara.
Agensi- agensi sahabat lain yang turut terlibat adalah PDRM, APAM, YKN, JKM, JIM, AADK, dan Alam Flora. Operasi ini telah melibatkan sejumlah 96 orang kekuatan.
Mereka yang diselamatkan ini telah menjalani proses saringan kesihatan oleh JKAS dan AADK di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku.
Gelandangan-gelandangan yang telah diselamatkan ini ditempatkan di Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana Taman Danau Desa Kuala Lumpur.
Timbalan Pengarah Unit Pembangunan Komuniti JPKKB DBKL yang turut bersama operasi mengucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai dan anggota yang turut serta dalam operasi ini.
Operasi ini akan dibuat dari masa ke semasa bagi memastikan gelandangan berpelesaran di ibu kota berada pada tahap optimun.