spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Kerajaan digesa wujud panel siasatan bebas kematian remaja selepas vaksin

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Orang ramai masih meragui keputusan siasatan kematian remaja lelaki berusia 13 tahun yang meninggal dunia bukan berpunca daripada suntikan vaksin COVID-19.

Justeru, kerajaan diminta menubuhkan panel siasatan bebas bagi meneliti hasil bedah siasat terhadap remaja berkenaan.

Perkara itu disuarakan oleh Charles Anthony Santiago (PH-Klang) atanya di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Charles berkata, ia bertujuan bagi mengatasi isu defisit kepercayaan rakyat terhadap hasil bedah siasat berkenaan yang memutuskan bahawa vaksin COVID-19 bukan punca kematian remaja terbabit.

Katanya, penubuhan panel bebas itu juga dipercayai dapat mengatasi kebimbangan ibu bapa yang menjadi antara punca pengambilan vaksin COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, masih rendah..

Beliau turut maklum dengan perjumpaan antara Menteri Kesihatan dan ibu bapa remaja berkenaan itu bagi menjelaskan hasil bedah siasat punca kematiannya yang berlaku selepas 14 hari menerima vaksin COVID-19.

“Saya juga diberitahu bahawa ada kanak-kanak lain berusia 12 dan 13 tahun yang turut meninggal dunia dalam tempoh sekitar dua minggu selepas menerima vaksin ini.

“Bedah siasat itu mengatakan vaksin tidak menjadi punca kematian anak muda itu, namun orang ramai tidak percaya dengan kesimpulan ini.

“Oleh itu, saya meminta kerajaan membentuk satu panel bebas untuk menilai laporan bedah siasat yang dikemukakan kepada ibu bapa kanak-kanak ini, apatah lagi kerana ada juga kes seumpamanya dilaporkan berlaku,” katanya dipetik Berita Harian Online.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, oleh Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Pada 4 Mac lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan bertemu ibu bapa kepada remaja lelaki itu untuk memaklumkan hasil bedah siasat kematiannya.

Sebelum ini, media melaporkan ibu bapa remaja itu menggesa supaya pihak berkaitan memberi penjelasan berhubung kematian mangsa yang berlaku beberapa minggu selepas mengambil vaksin pada Januari lalu.

Dr Noor Azmi bagaimanapun berkata, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan, sudah menangani isu itu dengan memberi penerangan kepada ibu bapa remaja terbabit.

Beliau berkata, KKM menjalankan tanggungjawab serius dalam menentukan punca semua kematian, termasuk yang membabitkan remaja lelaki itu.

Bagaimanapun, Dr Noor Azmi tidak menyatakan dengan jelas sama ada panel siasatan bebas bagi meneliti laporan bedah siasat itu akan diwujudkan atau sebaliknya.

“Apabila berlaku kematian selepas vaksinasi, KKM akan menentukan sama ada ia berpunca daripada vaksinasi atau tidak.

“Punca kematian ini ditentukan setepat-tepatnya melalui ujian, laporan, kajian tisu dan sebagainya oleh bahagian tertentu di KKM. Kita mengambil berat perkara ini,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases