spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Rumah mewah Rohana di London tutup skandal 1MDB?

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan dipercayai diberikan sebuah rumah mewah di London bernilai AS$10juta (RM41 juta) bagi ‘menutup mulut’ berhubung skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Dakwaan itu didedahkan oleh mantan pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner ketika disoal oleh pendakwa raya, Drew Rolle mengenai hubungannya dengan Rohana pada perbicaraan kes 1MDB di mahkamah Amerika Syarikat (AS).

Dalam keterangan Leissner, dia mendakwa hubungannya dengan Rohana berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.

Leissner turut mendakwa dia pernah membelikan Rohana sebuah rumah pada 2013 selepas Rohana mengancam mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

Leissner ialah saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan 1MBD yang sedang dijalankan terhadap bekas jurubank Malaysia, Roger Ng.

Ng adalah bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia yang didakwa bersubahat dengan Leissner untuk mengubah wang yang melanggar undang-undang antirasuah AS.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terlibat dalam pelanggaran undang-undang antirasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.

Memetik laporan Utusan Malaysia, sumber berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan susulan pendedahan Leissner dalam kes 1MDB di AS berhubung pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta kepada Rohana.

Menurut sumber yang dipetik laporan itu, siasatan dilakukan mengikut mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Perbicaraan kes 1MDB di AS menjadi tumpuan hangat selepas Leissner memberi keterangan yang dia mempunyai hubungan dengan Rohana.

Selain Rohana, Leissner turut mengaku menjalinkan hubungan sulit dengan dua lagi wanita Malaysia – anak saudara kepada bekas ketua menteri Sarawak dan anak perempuan duta Malaysia ke AS.

Susulan perkembangan itu, Rohana mengesahkan dia sudah bertemu dengan pihak SPRM.

The Edge melaporkan, Rohana melalui peguamnya di Tetuan Valen, Oh & Partners pada Jumaat mengeluarkan kenyataan berkata dia akan memberikan kerjasama penuh kepada agensi antirasuah itu dalam siasatannya.

“Saya merujuk kepada dakwaan yang muncul dalam media mengenai saya. Saya telah hadir di pejabat SPRM dan memberi mereka kerjasama penuh dalam siasatan mereka,” katanya.

SPRM dipercayai mengambil keterangan Rohana pada Khamis.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases