Mohd Nor Wahid
KUALA LUMPUR : POLIS telah menyerahkan hasil siasatan berhubung penangkapan anak kepada ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan atas kesalahan dadah kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang berkata, kes berkenaan berlaku pada Disember 2019 dan keputusan untuk mendakwa suspek mengikut seksyen berkaitan bergantung kepada AGC.
“Tuduh atau tidak itu kena tanya Pejabat Peguam Negara (AGC) kita, dah buka siasatan pada Disember 2019 dan sudah menyerahkan hasil siasatan.
“Kita tidak terima sebarang laporan polis berhubung perkara ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan akaun Twitter Edisi Siasat baru-baru ini yang mendakwa anak lelaki Vincent Tan ditahan atas kesalahan dadah pada 2019.
Edisi Khas mendakwa, kes berkenaan bagaimanapun telah ditutup oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas 19 Februari lalu,
Bagaimanapun, Tan Sri Tommy Thomas menafikan dakwaan dirinya menerima rasuah semasa mengendalikan kes jenayah melibatkan anak lelaki ahli perniagaan terkenal terbabit.
Menurutnya, selepas tertuduh didakwa, peguam-peguam tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar keputusan pertuduhan dipertimbangkan semula.