spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

PERKESO SUMBANG 3.5 juta untuk tingkat kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerja

- Advertisement -spot_img

KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam kalangan majikan dan pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengambil inisiatif menyalurkan Geran Bantuan Kewangan berjumlah RM3.57 juta kepada 37 institusi dan badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pada tahun ini.

Difahamkan inisiatif bantuan kewangan PERKESO ini berasaskan skop dan bidang bagi setiap institusi dan NGO untuk membantu PERKESO memupuk kesedaran mengenai KKP, seterusnya mengurangkan kadar kemalangan dalam negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Haji Awang Bin Hashim telah menyampaikan Geran Bantuan Kewangan PERKESO kepada wakil-wakil institusi dan badan-badan NGO yang terpilih dalam Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan PERKESO kepada Institusi dan Badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) 2022, sebelum ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir. Zailee Bin Dollah.

Pada tahun 2021, PERKESO telah menerima sebanyak 56,990 kes kemalangan, di mana 33,096 daripadanya merupakan kes kemalangan industri dan 23,894 adalah kes kemalangan semasa dalam perjalanan (commuting accident).

Perkara ini perlu diberi perhatian kerana kecuaian dan kelemahan pemantauan ke atas pematuhan KKP di tempat kerja merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kes kemalangan ini.

Sehubungan itu, sebanyak 639 program di bawah Geran Bantuan Kewangan PERKESO telah dirancang keseluruhannya untuk tahun 2022, di mana 333 daripadanya adalah untuk penganjuran seminar dan kursus sementara 217 program adalah untuk siri kursus keselamatan perjalanan.

Selain itu, PERKESO juga memperuntukkan sebanyak 89 program bagi tujuan promosi KKP.

Fokus aktiviti pencegahan pada tahun 2022 ini adalah kepada aktiviti pencegahan berdasarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25).

PERKESO akan memberikan fokus kepada Strategik 7 dalam OSHMP 25 iaitu bagi memperkukuhkan Pengurusan Keselamatan berkaitan Jalan Raya Pekerjaan (WRRS) dan Strategik 5 bagi memantapkan Pengurusan KKP di Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan menjalankan Program Sokongan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Selain itu, PERKESO turut menekankan elemen pengukuhan amalan kendiri di tempat kerja seperti yang digariskan dalam Strategik 2 OSHMP25, khusus buat pekerja asing yang juga pencarum PERKESO.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases