spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Langgar SOP bukan jenayah, tetapi dikompaun?

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM : Ketika Malaysia diancam Covid-19 pada 2019 dan ketika itu pemerintahan Pakatan Harapan, sudah ramai rakyat dikenakan kompaun (denda) akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik itu.

Malah, sejak itu, kerajaan mengutip sejumlah RM72.72 juta daripada lebih 180,000 kutipan kompaun yang dikeluarkan sejak akta ini dilaksanakan hingga Oktober tahun lalu.

Pelanggaran SOP untuk individu adalah tidak memakai topeng muka atau mematuhi jarak fizikal; pelanggaran oleh pengendali premis kerana kegagalan merekod pelawat atau memeriksa suhu badan; pelanggaran perintah kuarantin; dan isu lain.

Kompaun adalah sejenis bentuk denda bagi menggantikan seseorang dipenjarakan atau dibicarakan.

Bagaimanapun pada hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertahankan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bukan satu jenayah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob.

Kenyataan beliau itu susulan desakan pemimpin pembangkang supaya Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meletakkan jawatan kerana melanggar SOP ketika hadir dalam Majlis Pelancaran Briged MIC Johor pada Ahad.

Ismail Sabri menegaskan, perlanggaran SOP tidak ada kena mengena dengan dengan jenayah sehingga memaksa Ahli Parlimen Sembrong meletakkan jawatannya sebagai menteri.

Katanya, Hishammuddin tidak perlu meletakkan jawatannya, walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengeluarkan kompaun terhadapnya.

“Langgar SOP bukan jenayah ia tiada kena mengena dengan jenayah. KKM sudah keluarkan kompaun.

“Kalau sesiapa kena kompaun perlu letak jawatan, saya ingat tiada siapa yang boleh bekerja sebab semua kena letak jawatan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 di Management & Science University (MSU), di sini, pada Isnin.

Hishammuddin dalam ciapan Twitter rasminya pada Ahad melaporkan, mengakui khilafnya kerana melanggar SOP ketika hadir dalam majlis berkenaan.

Beliau menyatakan dirinya hadir sebagai tetamu dalam majlis itu dan mengakui memang ada kelemahan dalam pematuhan SOP dalam majlis terbabit.

Ekoran kejadian itu, beberapa pemimpin pembangkang turut mendesak Hishamuddin meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebelum ini ramai pegawai dan kakitangan kerajaan turut dikenakan kompaun disebabkan perlanggaran SOP.

“Pegawai dan kakitangan kerajaan ramai yang kena (kompaun), jadi takkan semua kena letak jawatan.

“Yang pentingnya tindakan telah diambil. Maknanya kerajaan ambil serius dan sesiapa sahaja yang melanggar SOP tak kiralah menteri, timbalan menteri atau ketua jabatan semua diambil tindakan,” tegasnya.

Katanya, kompaun yang dikenakan terhadap Hishammuddin dan dua lagi pemimpin yang hadir pada majlis itu membuktikan kerajaan tidak pilih kasih dalam menguatkuasakan SOP berkenaan.

Jelasnya, tidak ada konsep pemimpin atasan adalah golongan kayangan dalam pelaksanaan SOP berkenaan.

“Siapa sahaja yang melakukan kesalahan melanggar SOP akan dikenakan kompaun.

“Tidak ada konsep orang atas adalah golongan kayangan dan tak kena kompaun,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases