spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Isu video tular : Dr Afifi undur dari penasihat agama Sultan Perak

- Advertisement -spot_img

Oleh Tun Puteh Wanti

IPOH : Baru-baru ini penulis meminta penasihat agama menjelaskan situasi sebenar berikutan tohmahan ke atas dirinya yang dikaitkan dengan video tular kelibat seorang lelaki yang didakwa merupakan salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam berada di kelab malam.

Video berdurasi 3 minit 24 saat itu menampilkan visual dari sudut tepi imej seorang lelaki mirip penasihat agama dengan memakai topi yang diapit oleh dua orang wanita seksi di kiri dan kanan beliau.

Dalam satu kenyataan Pejabat Dewan Negara Perak di sini hari ini mengesahkan penerimaan surat pengunduran daripada menjawat gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Orang Besar Delapan negeri Perak sekali gus penasihat rasmi Sultan Perak dalam hal ehwal agama Islam daripada Datuk Dr Afifi al-Akiti yang diulit kontroversi baru-baru ini.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim berkata, warkah pengunduran diri daripada gelaran itu yang bertarikh hari ini diutuskan Dr Afifi bagi memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk berundur daripada menyandang gelaran terbabit.

Warkah beliau sudah diangkat sembah untuk pertimbangan Sultan Nazrin. Baginda menzahirkan penghargaan atas segala khidmat bakti yang diberikan Dr Afifi dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

“Baginda juga berkenan menerima permohonan itu (pengunduran) untuk dikuatkuasakan pada 15 Mei 2022 (hari ini),” katanya.

Kenyataan itu turut dilampirkan bersama gambar salinan warkah yang diutus Dr Afifi kepada Dewan Negara Perak.

Menerusi warkah yang ditulis, Dr Afifi mengakui pengundurannya adalah berkait rapat dengan penularan rakaman di media sosial yang dilihat bertujuan mencemarkan namanya sejak dua minggu kebelakangan ini.

Menurut warkah itu, Dr Afifi memilih untuk tidak mahu mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlakunya perdebatan berpanjangan yang tidak memberi sebarang manfaat.

Menurutnya, rakaman yang ditularkan itu kelihatan mempersoal kesesuaian peranannya dengan institusi istana serta mempertikaikan peranannya dengan urusan hal ehwal agama Islam.

Menginsafi perkara ini yang jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana, saya mengutus warkah ini untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

“Keputusan ini saya lakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada Sultannya, demi melindungi darjat kemuliaan Sultan Perak agar tidak dicacatkan dan begitu juga untuk mengelak institusi istana daripada dicemari,” katanya.

Dr Afifi kini adalah felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom dan anak Melayu pertama dan satu-satunya yang ditawarkan jawatan tetap di universiti terkemuka berusia lebih 900 tahun itu sebagai pensyarah pada usia 32 tahun.

Dr Afifi turut dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan bermula 2018, selain namanya turut tersenarai dalam ‘The World’s 500 Most Influential Muslims’, sejak 2010 atas jasa dan sumbangannya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases