spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Kekeliruan hukum syarak, Mufti perlu bertanggungjawab

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

Artikel bertajuk ‘Tokoh boleh hadir ke acara maksiat tetapi lebih baik elak’ tiba-tiba menjadi bualan hangat dalam kalangan umat Islam di media sosial selepas dikatakan menimbulkan persepsi buruk terhadap individu dan institusi agama negara.

Seorang Pakar Rujuk Syarak dan Agama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dr Nurul Haq Shahrir, terpanggil untuk menjelaskan bahawa menghadiri majlis yang mempunyai aktiviti dosa atau berunsur maksiat adalah haram dengan kesepakatan ulamak.

Satu-satunya anak Melayu dalam bidang itu di PBB, Nurul Haq menjelaskan, pendapat itu adalah muktamad bagi Mazhab Syafie seperti yang ditegaskan Imam Al-Nawawi dalam kitabnya Raudah Al-Talibin.

Bagaimanapun, Irsyad Al-Fatwa Siri ke-240 yang mengatakan dibolehkan menghadiri majlis yang ada unsur maksiat, dikhuatiri langgar ketetapan syarak.

“Perbuatan tersebut dianggap bersubahat dalam kemaksiatan, manakala pendapat ulamak Iraq itu adalah lemah dan tertolak (Al-Nawawi, Raudah Al-Talibin, Jilid 7, m/s. 334).

“Pengharaman ini berlaku bagi segenap umat Islam tanpa membezakan antara masyarakat awam dan tokoh ulamak seperti yang dinyatakan dalam Irsyad Al-Fatwa Siri ke-240,” katanya menerusi kenyataannya, di sini, hari ini.

Dalam kenyataan sama, merujuk kepada artikel Irsyad Al-Fatwa Siri ke-240 tahun 2018 pula, Nurul Haq mendakwa hukum syarak yang tercetus melalui artikel berkenaan berkaitan menghadiri majlis keraian yang padanya mengandungi maksiat, juga mengelirukan.

Sebelum menjelaskan kekeliruan yang tercetus secara ringkas, beliau mendakwa Irsyad Al-Fatwa itu juga dikhuatiri telah melanggar ketetapan syarak bahawa seseorang mufti atau hakim hanya boleh dan sah menjatuhkan hukum agama mengikut pendapat muktamad bagi sesuatu mazhab muktabar yang empat (Al-Dimyati, Hashiyah I’anah Al-Talibin, Jilid 4, m/s. 470).

Perkara yang sama telah diperuntukkan oleh Akta 505, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, Bahagian III, Seksyen 39(1) bahawa “dalam mengeluarkan apa-apa Fatwa di bawah Seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah Seksyen 38, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (Qaul Muktamad) Mazhab Syafie”.

“Saya terpanggil untuk meluruskan kecelaruan hukum Syarak yang tercetus melalui artikel Irsyad Al-Fatwa Siri ke-240 tahun 2018 berkaitan hukum menghadiri majlis keraian yang padanya mengandungi maksiat.

Kecelaruan fatwa yang dimaksudkan telah memberi salah tanggap bahawa menghadiri majlis maksiat dibolehkan dengan syarat, selain mengelirukan masyarakat dengan menghidangkan pelbagai pendapat ulamak yang terjadi khilaf padanya tanpa memberi sebarang kata putus sebagai pegangan hukum untuk dijadikan panduan umum.

Perenggan 17 artikel tersebut menyatakan, “Namun, terdapat satu pendapat dalam Mazhab Syafie kalangan ulamak Iraq yang mengharuskan, dengan syarat memungkiri kemungkaran tersebut di dalam hatinya.

“Keharusan itu dengan alasan kehadiran mereka mungkin akan menyebabkan penganjur majlis merasa malu lalu menghentikan atau mengurangkan kemungkaran yang dilakukan dalam majlis tersebut,” katanya.

Katanya, ulamak Iraq bermazhab Syafie yang dipetik oleh Irsyad Al-Fatwa di atas merujuk kepada para ulamak zaman awal (Mutaqaddimin) yang dikenali sebagai Ashabul-Wujuh.

“Mereka muncul dalam fasa pancaroba iaitu sebelum Mazhab Syafie disusun secara kukuh dan bersistematik, matang dan dimurnikan. Ini bermakna, Mazhab Syafie ketika era ulamak Iraq, belum dikemaskini dan segala riwayat serta pendapat ulamak masih lagi berkecamuk belum disunting atau disaring dengan sempurna.

Fasa pancaroba ini berlangsung sehingga kurun kelima Hijrah dan para ulamak Ashabul-Wujuh pula terpecah kepada dua kelompok iaitu kelompok ulamak Iraq dan kelompok ulamak Khurasan sehingga lahirlah dua orang panitia mazhab iaitu Imam Al-Nawawi (676 Hijrah) dan Al-Rafi’ie (623 Hijrah) yang mengharmonikan perselisihan dua kelompok tersebut.

Mazhab Syafie hanya diperkukuhkan dan teguh tersusun, didasari dengan segala kaedah serta disiplinnya di zaman kedua imam tersebut, sehinggakan pendapat muktamad mazhab ditakrifkan sebagai “pendapat yang disepakati oleh Imam Al-Nawawi dan Imam Al-Rafi’ie.

“Manakala jika mereka berselisih, maka pendapat yang dimenangkan oleh Imam Al-Nawawi adalah pendapat muktamad mazhab” (Al-Dimyati, Hashiyah I’anah Al-Talibin, Jilid 4, m/s. 471),” katanya.

Justeru, beliau berpendapat, tidak boleh berfatwa atau berpegang dengan pendapat ulamak Ashabul-Wujuh.

Bahkan, katanya ulamak generasi muda (Muta’akhirin) melarang merujuk kepada kitab-kitab atau berpegang dengan pendapat ulama’ sebelum Imam Al-Nawawi dan Al-Rafi’ie, kecuali setelah dengan cermat meneliti bahawa itu adalah pendapat muktamad mazhab (Al-Kurdi, Al-Fawa’id Al-Madaniyah, m/s. 22).

“Ini bermaksud, tidak sah berfatwa dengan mana-mana pendapat mereka dan jika fatwa atau keputusan mahkamah dijatuhkan dengan berpandukan pendapat tersebut ianya terbatal, tidak berlaku dan wajib diralat oleh mufti serta diisytiharkan pembubaran fatwa tersebut (Al-Dimyati, Hashiyah I’anah Al-Talibin, Jilid 4, m/s. 470).

“Protokol fatwa ini bukanlah perkara yang dibuat-buat tetapi ianya adalah panduan hukum Syarak yang telah disepakati oleh ulama’ seperti yang dinukilkan oleh Imam Al-Subki dan Ibnu Al-Solah (Al-Dimyati, Hashiyah I’anah Al-Talibin, Jilid 4, m/s. 470),” katanya.

Nurul Haq menggesa Mufti Wilayah Persekutuan supaya bertanggungjawab terhadap segala fatwa yang diputuskan dan tidak boleh peluk tubuh daripada kemelut yang melanda ibarat melepaskan batuk di tangga dengan menuding jari ke pihak lain.

“Justeru, selaku pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong (Akta 505, Seksyen 33), Mufti Wilayah Persekutuan digesa mengambil langkah proaktif dengan membatalkan mana-mana fatwa yang telah diputuskan sebelum ini yang bercanggah dengan Syarak sekaligus menyalahi Akta 505, Seksyen 39(1).

“Pindaan terhadap Seksyen 39(3) bagi akta yang sama juga perlu dibuat dengan segera agar selari dengan Islam arus perdana, Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan tidak terkeluar daripada sempadan yang telah ditetapkan syarak sepertimana yang telah dilakukan oleh Johor dan Melaka.

Dalam kenyataan sama lagi, beliau menyelar perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pengamal media kerana menyiarkan semula artikel tersebut sejurus insiden pemimpin politik hadir majlis ada tarian separuh bogel, yang membawa persepsi salah terhadap Mufti Wilayah Persekutuan terkini.

“Pembaca pula dinasihatkan melakukan tabayyun dan berhati-hati terhadap informasi dan berita yang tersebar dan berkait dengan umat Islam tanpa didasari dengan pemahaman yang mendalam,” katanya.

Artikel berita yang menjadi bualan hangat netizen itu diterbitkan oleh portal Utusan Online, disiarkan pada 5 Mac 2022.

Bagaimanapun, pihak Utusan Online didapati sudah memadam artikel berkenaan, selepas penceramah bebas, Herjunot Ali atau nama sebenarnya Wan Ji Wan Hussin mendakwa Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan artikel berkenaan.

Meskipun ia sudah dipadam, pihak berkenaan didakwa belum membuat permohonan maaf terhadap salah laporan terbabit.

Malah, sehingga kini, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan masih belum memberikan sebarang maklum balas berkaitan laporan portal terbabit.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases