spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Pinjam bot hantar mayat kanak-kanak Orang Asli Taman Negara

- Advertisement -spot_img

Oleh AMIR HAMZAH NORDIN

JERANTUT, 6 Februari 2022 – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bird Group Taman Negara (BGTN) terpaksa meminjam bot penambang orang kampung untuk menghantar mayat seorang kanak-kanak Orang Asli etnik Bateq bagi proses pengkebumian.

Mayat itu dikebumikan di Kampung Kuala Atok berdekatan Kuala Tahan dekat sini, kelmarin.

Pengerusi BGTN, Roslan Abu Kassim berkata, ketiadaan perahu kajang berenjin menyukarkan usaha sukarelawan selaku orang tengah yang membantu kebajikan kira-kira 1,000 Orang Asli di Taman Negara.

Katanya, mayat kanak-kanak perempuan Orang Asli berkenaan berusia sembilan tahun itu mengikut sumber keluarganya meninggal dunia akibat jangkitan kuman paru-paru, telah dibawa dengan ambulans daripada Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh ke jeti Kuala Tahan untuk dibawa pulang ke Kampung Kuala Atok.

“Kita menguruskan penghantaran mayat kanak-kanak ini ke kampung tersebut mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan bot Sungai Tembeling untuk upacara pengebumian di atas pokok yang akan dilakukan oleh Tok Batin dan keluarga mengikut kepercayaan kaum tersebut.

“BGTN terpaksa meminta bantuan bot penambang orang kampung kerana perahu kajang berenjin milik kami sudah hilang dilanda ombak Jeram Panjang, Sungai Tembeling ketika melakukan penghantaran bantuan banjir pada 5 Januari lalu,” katanya di jeti Kuala Tahan dekat sini.

Katanya, selagi ketiadaan perahu kajang berenjin, saya dan rakan BGTN amat sukar menjalankan kerja sukarelawan dan tidak mampu menyewa bot penambang lain kerana kos terlalu tinggi, iaitu antara RM300 hingga RM600 sekali perjalanan.

“Saya memohon kerajaan, rakan NGO luar dan dermawan supaya dapat menyumbangkan kewangan sebanyak RM16,000 untuk membeli sebuah perahu kajang dan enjin baharu bagi kemudahan tugas misi kemanusiaan membantu penduduk Orang Asli etnik Bateq di Taman Negara Kuala Tahan,” katanya.

Katanya, perahu kajang berenjin amat diperlukan untuk sukarelawan BGTN menghantar bantuan daripada NGO luar seperti barang makanan, peralatan tidur, peralatan belajar dan sebagainya untuk dihantar ke lima buah perkampungan Orang Asli tersebut.

Katanya, pihak kerajaan, NGO luar dan dermawan dirayu untuk membantu kewangan sebanyak RM16,000 keperluan membeli bot penambang termasuk enjin baharu dengan menghubungi Roslan Abu Kassim menerusi talian 014-6051663 atau Abdul Jalil Abd Rahman (019 9965263).

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases