Sejak 52 tahun, Rukun Negara telah berjaya menjadi landasan hala tuju keamanan, kesejahteraan, ketenteraman dan hidup berharmoni pelbagai kaum, bangsa, puak, agama, warna kulit dan sebagainya.
Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia, dibentuk 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu langkah drastik selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
Ia menjadi teras kepada kestabilan undang-undang dan tiada yang boleh mengatasinya.
Rukun Negara ini digubal oleh wakil seluruh rakyat warganegara Malaysia. Diketuai oleh sebuah pertubuhan terbesar orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ini iaitu UMNO.
Bagaimanapun, bermula era pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kedaulatan ini mula terhakis sedikit demi sedikit, buktiknya pendedahan mantan Peguam Negara, Tommy Thomas sehingga banyak pendakwaan kes berprofil tinggi termasuk isu militan digugurkan.
Malah, desas-desus bertebaran mendakwa “kebebasan bersuara” dikawal setelah pengendali laman sosial Facebook diurus tadbir oleh sebuah parti politik era itu sehingga beberapa wartawan didakwa kerana menyuarakan pendapat mereka.
Pencabulan undang-undang ini semakin jelas ketika negara diancam pandemik Covid-19 sehingga ketika itu ramai rakyat yang didenda dan dipenjarakan hanya semata-mata tidak memakai topeng muka dan melanggar SOP.
Ada yang dipenjarakan hampir lima bulan selepas gagal membayar denda RM1,000, dan ditambah tempoh sebutan di mahkamah ditangguhkan kerana PKP atau faktor lain seperti ‘close contact Covid-19’ dalam penjara.
Mereka yang ditahan ini ada yang menjadi sumber pendapatan ahli keluarga, kehilangan kerja dan reputasi, malah masa depan anak turut terabai.
Menjadi persoalan kepada rakyat adakah ‘hukuman’ itu relevan di saat rakyat sedang berdepan tekanan dahsyat seperti kehilangan punca pendapatan, rekod penjara dan hilang kerja akibat PKP.
Malah yang lebih menakutkan adalah pencabulan ini didahului oleh pihak-pihak penunggang agama, menggunakan topeng agama untuk kepentingan mereka.
Sebagai contoh kuasa mutlak oleh undang-undang syariah negeri yang menyebabkan ada ditangkap, dipenjarakan hanya kerana perangkap hasutan dan fitnah yang tidak menjalani proses siasatan secukupnya sebelum didakwa.
Ada kes pencabulan undang-undang oleh pihak penunggang agama yang menyalahguna kuasa ke atas orang awam yang sedang belajar dan bertanya mengenai Islam. Mereka telah ditangkap, dilokap, dijamin, dipenjarakan hingga berbulan-bulan tanpa ada sebarang bukti dan pendakwaan. Hanya kerana pihak agama itu tidak dapat menjawab soalan mereka.
Malah dalam kes mengemparkan negara seorang remaja, Daniel Iskandar didera kerana ‘mengalih tabung masjid’ dengan guna teknik Water Boarding ala militan oleh Imam masjid sebelum dipenjarakan 10 hari.
Begitu juga isu Sajat yang didapati bersalah kerana berpakaian wanita, tiada undang-undang Malaysia yang mampu melindungi haknya. Di tempat awam, hendak pakai pakaian lelaki tidak boleh, hendak pakai pakaian wanita juga dilarang. Akibat mengelakkan bertelanjang bogel dan dipenjara terpaksalah Sajat lari ke negara lain.
Namun apabila pemimpin bertopengkan agama ini membuat salah seperti yang halal diharamkan, yang haram dihalalkan tidak pula mereka ditangkap. Ini menggalakkan orang awam mencabul undang-undang ditangan sendiri sebagaimana yang berlaku kepada Daniel Iskandar.
Lebih mengejutkan pada Disember 2021, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan lima peruntukan baharu dan lima pindaan dalam Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ia antara lain menyaksikan penurunan kuasa untuk pelaksanaan penguatkuasaan, peruntukan mengenakan tindakan terhadap pertubuhan perbadanan serta penalti am terhadap individu dan pertubuhan perbadanan.
Antara pindaan Akta 342 Seksyen baharu 21a, membolehkan Ketua Pengarah mengeluarkan apa-apa arahan mengikut apa-apa cara, sama ada secara am atau khusus, kepada mana-mana orang supaya mengambil apa-apa langkah bagi maksud mencegah dan mengawal apa-apa penyakit berjangkit.
Klausa ini memberi kuasa kepada pegawai berkenaan mengurung sesiapa sahaja sebagaimana difikirkannya disyaki berpenyakit tanpa ada bukti atau pengesahan di pusat khas kuarantin dan mengikut Seksyen baharu 14a dibawah akta sama, individu itu perlu menjalani pengasingan dan pengawasan bagi tempoh difikirkan patut dan pegawai diberi kuasa guna kekerasan.
Kegagalan mematuhi atau melanggar mana-mana seksyen dibawah Akta 342 ini adalah tiada penalti sebaliknya seseorang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya atau sesuatu pertubuhan perbadanan didenda tidak melebihi RM2 juta.