Dos penggalak kurang berkesan menjelang bulan keempat – CDC

Oleh Fhatihah Zakinan

WASHINGTON – Kajian baharu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyaksikan suntikan dos ketiga atau penggalak vaksin Pfizer dan Moderna mula merosot keberkesanannya menjelang bulan keempat pelalian.

Kajian baharu itu dibuat berdasarkan lebih 241,204 kunjungan ke jabatan kecemasan atau klinik.

Daripada jumlah itu, sebanyak 93,408 kes kemasukan ke hospital yang lebih serius dalam kalangan dewasa yang menghidap COVID-19 bagi tempoh kira-kira 5 bulan antara 26 Ogos 2021 hingga 22 Januari 2022.

Keberkesanan vaksin diputuskan dengan membandingkan kebarangkalian keputusan positif ujian COVID-19 antara pesakit yang divaksinasi dan tidak divaksinasi.

Ia termasuk kaedah statistik bagi faktor kawalan seperti umur, tahap penularan tempatan dan ciri pesakit seperti komorbiditi.

Semasa tempoh wabak varian Omicron, keberkesanan vaksin dos ketiga dalam mencegah kunjungan ke jabatan kecemasan berkaitan COVID-19 atau klinik adalah 87 peratus dalam tempoh dua bulan, namun ia menurun kepada 66 peratus menjelang bulan keempat.

Keberkesanan vaksin dos ketiga dalam mencegah kemasukan ke hospital adalah 91 peratus dalam dua bulan pertama, tetapi merosot kepada 78 peratus menjelang tempoh sama.

“Penemuan bahawa perlindungan yang diberikan oleh vaksin mRNA berkurangan pada bulan-bulan seterusnya selepas penerimaan dos ketiga, mengukuhkan kepentingan pertimbangan selanjutnya mengenai keperluan dos tambahan lain untuk mengekalkan atau meningkatkan tahap perlindungan,” demikian menurut kesimpulan berkenaan.

Bercakap pada taklimat COVID-19 di White House Rabu, penasihat perubatan tertinggi Presiden Joe Biden, Anthony Fauci berkata, kemungkinan dos keempat diperlukan untuk meningkatkan tindak balas imunisasi kepada golongan yang lebih lemah, seperti orang tua dan mereka yang mengalami kurang daya tahan penyakit.

Walaupun sudah diketahui bahawa keberkesanan vaksin menurun selepas dua dos, namun tidak banyak kajian yang diterbitkan mengenai tempoh perlindungan dos penggalak