SEPANG : Wakil 400 penjaja kecil daerah Sepang hari ini menyerahkan satu Memorandum Bantahan Had Tempoh Sewaan Premis Niaga Majlis Perbandaran Sepang (MPS) kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.
Memorandum setebal enam muka surat itu pernah diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa salinannya dihantar ke Pejabat Exco Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat ADUN Sungai Pelik, YDP MPS dan wakil pihak Istana, awal Februari lalu.
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak bagi Peniaga Sepanv, Jahari Ibrahim berkata, memorandum ini berkenaan had tempoh sewaan perniagaan selama 10 tahun yang tidak adil kepada peniaga.
“Memorandum ini sudah sampai kepada Amirudin dan beliau pernah maklumkan akan semak semula kesesuaian had tempoh sewaan ini khususnya selepas kita dilanda pandemik.
“Kami mohon dipertimbangkan kesusahan peniaga-peniaga yang terjejas teruk dan terkesan pendapatan mereka akibat dua tahun berhadapan ancaman pandemik Covid-19,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Najib Razak di perkarangan PWTC baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Gulab Jan Fazal Eladin.
Dalam pada itu, kami juga dimaklumkan had tempoh ini tetap berkuatkuasa dan lebih 100 peniaga diminta menjalani proses saringan terlebih dahulu sebelum ada keputusan menyambung semula selama setahun, dua tahun dan tiga tahun.
“Ini bercanggah dengan kenyataan awal Amirudin yang memaklumkan sistem had tempoh tidak sesuai dan perlu digantikan dengan semakan setiap lima tahun,” katanya.
Terdahulu, ratusan peniaga di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di Cyberjaya, mendakwa teraniaya apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengehadkan tempoh sewaan kepada 10 tahun tanpa pampasan serta tapak perniagaan baru.
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak, Jahari Ibrahim mohon pertimbangan kerajaan negeri agar mempertimbangkan kerugian ‘dua tahun’ peniaga-peniaga ini sebelum menamatkan had tempoh itu.