Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR : Hari Ahad bagi kebanyakan rakyat di negara ini adalah hari untuk berkumpul bersama keluarga, mencari tempat makan menarik, bertemu rakan dan bersama pasangan tercinta.
Namun, hujung minggu bagi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai merangkap Ketua Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani amat berbeza.
Di bawah panas terik matahari, beliau meluangkan masanya bertemu penduduk Lembah Pantai pada hari ini sementelah hari biasanya jadual padat sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 (PTTK 2)
kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Seri Shahidan Kassim.
Hari ini, penghuni kaum India di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai menarik nafas lega setelah meluahkan semua permasalahan pusat pengurusan mayat sejak tahun 2020 yang tidak selesai.
Pusat pengurusan mayat itu tidak dapat digunakan kerana tiada bekalan air, bekalan elektrik, fasiliti seperti meja, kerusi, lain-lain kelengkapan sebagai tempat yang sesuai untuk beribadah dan memberi penghormatan terakhir mayat.
Mereka akur pusat itu terletak berhampiran pusat pembuangan sampah namun berharap tong sampah besar tidak terdedah sebaliknya dimasukkan ke dalam dan ada wakil khas untuk menjaga kunci dan kebersihan di premis berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Ramlan berjanji akan membawa isu ini ke peringkat Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) agar diteliti dan diambil tindakan segera.
“Kami terima aduan daripada masyarakat India berhubung isu pengurusan mayat kaum India ini tiada bekalan air, meter bekalan elektrik dicuri, tempat terbiar dan sebagainya.
“Juga difahamkan kunci pusat ini tidak tahu siapa pegang sehingga menjejaskan urusan mayat,” katanya kepada Wacanakini.com ketika turun meninjau keadaan di PPR Seri Pantai di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Biro Kebajikan Lembah Pantai, Haji Ramli Awang Ahmad, Ketua Bahagian Makkal Sakti Lembah Pantai merangkak AJK Biro Kebajikan Lembah Pantai, Partibhan A/L Muniandy dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Pantai merangkap Pengerusi Surau Al Makmur, Mohamad Talib.
Tambah Ramlan, terdapat juga permintaan agar diwujudkan satu lokasi menunggu selepas murid sekolah turun dari bas. Bas terlalu laju dan bahaya takut ada kemalangan jiwa.
“Ketika ini hentian bas ditutup oleh deretan kedai penjaja kecil di tepi jalan.
“Saya akan kemukakan semua isu ini kepada Menteri dahulu untuk minit mesyuarat KWP nanti. Saya akan pastikan isu ini berjalan lancar. Saya pun baharu tahu isu ini setelah wakil penduduk memaklumkan kepada saya.
“Saya cadang ada dialog antara penduduk dan pengurus DBKL cawangan Lembah Pantai agar segala permasalahan diambil perhatian dan tindakan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, wakil penghuni PPR Seri Pantai, Juliana berkata, dia terharu dengan kehadiran pemimpin BN ke PPR berkenaan.
“Kami bukan orang politik, kami sudah bawa isu ini kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Fadzil Mohamed Fadzil tetapi tiada tindakan sehingga ke hari ini, sudah dua tahun kami tidak boleh guna tempat ini.
“Selagi pusat ini tidak diselenggara dengan betul, orang ramai tidak dapat memanfaatkan tempat yang disediakan, kami golongan B40 untuk urus mayat perlu keluar kos mahal jika tiada tempat untuk urus.
“Jadi, apabila Datuk Ramlan datang hari ini, kami semua lega, kami terima kasih ada juga pemimpin mahu dengar masalah kami,” katanya.