Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Masyarakat India Muslim di Tanah Melayu yang sinonim dengan gelaran ‘mamak’ dahulunya lebih dikenali dalam bidang perniagaan restoran nasi kandar, tukaran matawang, dan runcit kecil-kecilan.
Bagaimanapun, stigma itu kini berubah dalam tempoh sejak lima dekad lalu apabila kelompok ini meluaskan pelbagai cabang perniagaan bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Ia termasuklah bidang tekstil, barang kemas, syarikat percetakan dan penerbitan, jurutera, doktor, peguam, dan ahli akademik.
Ia diakui sendiri oleh Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN), Datuk Abdul Hamid PV Abdu yang mengesahkan mereka terbabit dalam hampir semua bidang perniagaan dalam negara.
Ia sekali gus menunjukkan mereka secara tidak langsung membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Kalau tengok pada trend 40 tahun, 20 tahun dan sekarang kita lihat mamak, dia sudah ada dalam semua bidang perniagaan dalam dan luar negara.
“Kita memberikan sumbangan terbesar juga kepada negara dengan cara memberikan pekerjaan kepada warga tempatan dan luar. Pendek kata, kita beri peluang bukan untuk satu kaum, termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MIMCOIN, Dewan Sivik, Petaling Jaya di sini.
Justeru, beliau membuka peluang kepada semua rakyat dalam negara untuk bersama-sama menjayakan bidang yang mereka ingin ceburi kepada tahap lebih baik.
“Selepas dua tahun pandemik, ramai hilang kerja, perniagaan tutup. Jadi, apa yang kita mampu buat adalah buat siri jelajah seluruh negara bermula di Pulau Pinang, Perak, Kedah.
“Banyak peluang, dari segi bekalan ayam dan rempah,” katanya menambah mempunyai seramai 3,000 keahlian.