Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dipercayai akan diadakan pada bila-bila masa, dalam masa terdekat.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, menyifatkan PRU-15 dalam masa terdekat adalah masa yang sesuai untuk BN melaksanakan gerak kerja untuk kembali mentadbir negara selepas menyedari kesilapan yang dilakukan parti pada PRU-14 lalu.
“Berdasarkan Perdana Menteri maklum tadi, dia (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tidak akan melengahkan walau sesaat pun (mengadakan) PRU. Bermakna, ini masa terbaik.
“Kami melihat masa ini sudah sesuai BN harus kembali memerintah negara, kerana kita yakin pemimpin sudah menyedari kesilapan dan kelemahan pada masa lalu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tarikh PRU15.
Beliau berkata demikian kepada media pada Konvensyen BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Justeru, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata BN perlu segera membawa idea dan dasar lebih segar bagi memulihkan kembali keyakinan masyarakat, dan bukan bersandarkan kepada kejayaan parti memerintah selama 22 tahun semata-mata.
Katanya, BN perlu mempunyai tawaran baharu kepada masyarakat untuk memulihkan ekonomi dan penerimaan masyarakat.
“Saya percaya bahawa BN tidak boleh mempertahankan jawatan hanya bersandarkan kredit semata-mata.
“Justeru, perubahan masa itu sendiri menuntut BN sama ada peringkat atas atau bahagian merungkai sesuatu, pendekatan, strategi dan idea baharu bagi merubah persepsi masyarakat di luar sana bahawa sebelum ini BN tamak kuasa, korup dan sebagainya,” katanya.