Oleh Tun Puteh Wanti
AMPANG : Tempat sejuk bersalji di Jepun iaitu Hokkaido menjadi lokasi percutian paling diminati rakyat Malaysia.
Selain Hokkaido, rakyat Malaysia juga memilih Tokyo, Kyoto, Nagoya, Nara dan Osaka sebagai destinasi wajib jika berada di negara Matahari Terbit itu.
Selepas pintu sempadan negara, Malaysia – Jepun bekerjasama bagi menaikkan industri pelancongan di kedua-dua negara.
Festival Malaysia – Jepun 2022 diadakan pada 2 Jun hingga 5 Jun bersempena dengan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP40) yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) adalah inisiatif awal untuk promosi pelancongan Malaysia – Jepun.
Pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung seperti Bengkel Cosplay, pameran kraftangan, promosi produk pelancongan dan promosi pendidikan TVET, demonstrasi kraftangan, tulisan khat dan mencanting batik.
Selain itu turut diadakan kelas Bahasa Jepun, Persembahan Kebudayaan Malaysia dan Jepun, Perarakan Matsuri dan pelbagai aktiviti lain.
Menurut Pengerusi Penganjur Malaysia- Japan Festival 2022, Datuk Sahariman Hamdan, hubungan dua hala ini bagi membantu meningkatkan ekonomi negara agar ia lebih baik selepas dua tahun pandemik.
“Bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dengan Jepun dengan meningkatkan pengetahuan dan minat terhadap budaya, bahasa, dan aktiviti lain yang berkaitan Malaysia dan Jepun dalam memperingati ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur.
“Festival ini bertujuan untuk mempromosikan sistem sosioekonomi yang lebih mampan dengan menggalakkan orang ramai untuk datang dan mengambil bahagian dalam festival tersebut.
“Inisiatif ini dapat mempromosikan pelancongan, seni dan budaya di kedua-dua negara kepada penduduk tempatan dan pelancong.
Ia juga merupakan peluang terbaik untuk mewujudkan hubungan antara homestay dan seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Tambahan pula, disebabkan sempadan negara kita tidak dibuka secara meluas kepada warga asing, festival ini dijangka menarik sebilangan besar masyarakat Jepun yang telah bertapak di Malaysia.
Pada masa ini, terdapat komuniti Jepun di Malaysia, termasuk mereka dari institusi teknikal Jepun, syarikat Jepun dan agensi Jepun.
Malaysia dan Jepun mempunyai sejarah yang panjang dan gemilang. Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri kita sebelum ini, melancarkan Dasar Pandang Ke Timur (LEP) pada 1982, menjadikannya empat puluh tahun pada 2022.
LEP telah memainkan peranan penting dalam pembangunan hubungan antara Jepun dan Malaysia sepanjang empat dekad yang lalu, dengan hubungan dua hala, khususnya kerjasama ekonomi, semakin pesat.
Mulai 1 Jun pelawat dari negara dalam kategori biru termasuk Malaysia tidak perlu lagi menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerasa Chain Reaction (RT-PCR) dan kuarantin selepas tiba di negara itu.
Secara umumnya, had jumlah ketibaan antarabangsa ke Jepun juga akan ditambah daripada 10,000 kepada 20,000 mulai 1 Jun ini.
Bagi tujuan pelancongan pula, kemasukan bersyarat akan dibenarkan mulai 10 Jun dan seterusnya bagi pelawat asing dalam rombongan pelancongan terkawal yang dikendalikan oleh agensi pelancongan.