spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

BN tidak boleh biarkan Malaysia terus mundur 20 tahun ke belakang – Tok Mat

- Advertisement -spot_img

Mohd Nor Wahid

KETIDAKSTABILAN politik Malaysia dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini telah menjerumus negara ke era 20 tahun ke belakang.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata, faktor itu adalah termasuk dalam tiga sebab mengapa BN perlu kembali menguasai tampuk pemerintahan negara.

Menurutnya, BN tidak boleh membiarkan negara terus dikuasai pihak lain kerana tidak mahu lagi melihat negara terus mundur ke belakang.

“Bayangkan, jika semua ini berterusan. Malaysia akan menjadi negara, yang terus ketinggalan dan tercorot.

“Kita mesti pasakkan dalam sanubari setiap rakyat Malaysia, untuk tidak terus bereksperimen dengan politik negara. Mereka mesti membuat keputusan dengan rasional dan objektif. Bukan emosional dan terbawabawa dengan sentimen,” ucapnya.

Timbalan Presiden Umno itu berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen BN sempena ulang tahun ke-48 gabungan itu di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad juga menjelaskan, BN mesti kembali menjadi peneraju pentadbiran negara bagi memastikan proses pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

“Kita mahu memulihkan kembali negara. Pada saat kita berhimpun ini, rakyat di luar sana sedang sangat terbeban. Harga barang melambung naik sehingga di luar kemampuan rakyat.

“Malah, bekalan makanan asas berisiko terputus atau tidak mencukupi. Sumber protein kita telah menjadi sangat mahal. Segalanya, dari makanan kepada kos kehidupan lain, telah menjadi sangat luar biasa dari kemampuan purata rakyat Malaysia.

“Kepercayaan kepada institusi awam terjejas. Iklim pelaburan terus pudar dan perlahan. Segalanya lebih baik dahulu daripada sekarang. Kerana itu kita mesti memulihkan Malaysia. Ia harus menjadi misi paling utama BN.

“Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara ini, apabila BN ditewaskan pada 2018. PH has failed to govern and they failed miserably. Dari semua segi, kita telah merosot, menyusut dan berundur ke belakang. Dan bila kita menerajui semula Kerajaan waktu ini, tangan kita pula terhad dan terikat. Ini kerana, kita tidak mempunyai kuasa yang dominan,” katanya.

Mohamad menjelaskan, BN perlu mencipta masa hadapan rakyat terutama bagi generasi akan datang.

“BN mesti mengambil alih semula Malaysia, kerana kita mahu mencipta masa depan untuk generasi akan datang.

“Mentadbir negara, bukan setakat menguruskannya, untuk kemandirian hari ini. Tetapi, ia juga tentang membina asas asas kelangsungan hari esok.

“Kita bukan hanya mewarisi Malaysia ini dari generasi lepas, tetapi turut meminjamnya dari generasi akan datang,” katanya.

Justeru, Mohamad menegaskan, BN perlu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15melalui idea, kesepakatan, politik moral, kepimpinan ‘intergenerational’ dan strategi yang tuntas sekali gus mencipta masa hadapan Malaysia kembali gemilang.

“Maka kita mesti menyingkirkan, segala noda dan kesalahan generasi sedia ada. Dan menyediakan landasan lebih baik untuk generasi akan datang. Kita hidup di zaman yang bukan lagi zaman kita.

“Jadi janganlah kita terus menghancurkan zaman ini dan meninggalkan Malaysia, dalam keadaan yang parah dan lelah, kepada generasi Malaysia yang akan datang.

“Maka, BN mesti mencipta masa depan terbaik, untuk generasi akan datang Malaysia,” katanya. – Wacanakini

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases