Oleh: ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Tradisi kek ‘palak meja’ kini seolah pudar dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak ketika Aidilfitri ditelan peredaran zaman silih berganti
Pernah menjadi fenomena sekitar tahun 60-an hingga 80-an, tradisi palak meja (kepala meja) merupakan seloyang kek lapis yang diletakkan di atas meja ruang tamu bersama dengan kek-kek lapis yang lain dalam kiraan empat hingga 40 loyang kek lapis pelbagai jenis.
Namun, kek palak meja disyaratkan tidak boleh dipotong oleh tuan rumah untuk dihidangkan kepada tetamu tetapi ia hanya menjadi rezeki mata untuk dilihat mereka yang bertandang untuk beraya.
Sekiranya si tetamu ingin merasai kek palak meja dan meminta tuan rumah memotongnya, tuan rumah berhak mengenakan sebarang bayaran tertentu kepada tetamu sebagai galang ganti atau harga kek palak meja berkenaan.
Enggan tradisi ini lenyap serta berhasrat ingin memberi nafas segar dalam amalan orang lama ini, Noriah Kapli mewarnai Aidilfitri kali ini dengan menghidangkan sebanyak 38 jenis kek lapis termasuk seloyang palak meja seperti orang tua terdahulu.
“Palak meja saya pada Aidilfitri ini adalah kek Hati Parek,” katanya ketika dikunjungi Wacanakini.com pada Syawal ke-11 di kediamannya di Kampung Paruh, Kuching Sarawak.
Menurut wanita berusia 51 tahun ini, berpengalaman lebih 20 tahun membuat kek lapis, beliau mula mengadun tepung serta melapis adunan bagi dihidangkan pada Aidilfitri kali ini seawal 6 Ramadan lagi.
“Membuat kek lapis ini mengikut ketenangan fikiran oleh itu setiap hari saya akan membuat antara 16 hingga 20 jenis kek lapis sehari,” ujar ibu kepada empat cahaya mata ini.
Berbekalkan minat kata Noriah, usahanya turut dicernakan kepada sumber pendapatan iaitu perusahaan membuat kek lapis yang dijalankan bersama adiknya.
“Setelah selesai membuat 38 kek lapis untuk diri sendiri, baharulah saya membuat kek lapis yang ditempah oleh para pelanggan,” jelasnya kira-kira tempahan 150 loyang pelbagai jenis kek lapis berjaya disiapkan tepat pada 27 Ramadan lalu.
Mengakui Aidilfitri tahun ini merupakan lubuk emas buat beliau dan keluarga ekoran menerima tempahan sebanyak tiga kali ganda daripada biasa.
“Boleh saya katakan orang kita beraya kali ini amat hebat kerana jika sebelum ini tempahan yang saya terima kebanyakkannya adalah setengah loyang atau satu lof sahaja,
“Namun setelah dua tahun kita tidak beraya dan tahun ini dibenarkan meraikan Hari Raya…Alhamdulillah, saya menerima tempahan yang amat banyak,” ujarnya lagi.
Dalam kemeriahan Aidilfitri, Noriah turut berharap tradisi palak meja turut dihidupkan semula oleh masyarakat Melayu di Sarawak yang lain agar warisan ini tidak luput di telan zaman serta dikenali oleh generasi muda nanti.