Oleh Tun Puteh Wanti
LONDON : Masa depan Mohamed Salah bersama Liverpool masih kabur.
Ada yang mengatakan Salah mungkin berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG) atau kelab Sepanyol berikutan pemain sayap itu masih belum komited terhadap kontrak baharu Liverpool dengan perjanjian semasanya yang akan tamat pada Jun 2023.
Seperti dilaporkan oleh The Telegraph, Liverpool mungkin perlu mempertimbangkan untuk menjual Salah bagi mengelak kehilangannya secara percuma.
Salah belum memberi sebarang petunjuk bahawa dia akan kekal di Anfield dan itu akan memberi isyarat kepada gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid.
Salah adalah penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan 22 gol selain turut menjadi pembantu kepada 13 jaringan. Dia dipilih sebagai pemain lelaki terbaik tahun ini oleh Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA).
Kehilangan Salah sudah pasti akan menjadi tamparan hebat buat Liverpool terutamanya ketika pengurus Jurgen Klopp, yang baru-baru ini menandatangani kontrak baharu sedang berusaha untuk mengekalkan standard tinggi kelab itu.
Sejak menyertai Liverpool pada 2017, Salah sudah memenangi gelaran EPL, Liga Juara-Juara dan Piala Carabao.