spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Singapura terima ancaman serangan 9/11

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

Perjalanan pendakwah bebas popular Indonesia, Abdul Somad Batubara semakin disekat apabila beberapa negara tidak mengiktiraf kemasukan warga negara republik itu.

Ia susulan pendakwah Indonesia berkenaan dipercayai dikaitkan dengan kegiatan pengganas.

Terkini, Singapura menerima ancaman mengenai serangan 9 September selepas isu pendakwah terbabit dihalang memasuki negara ketika tiba di Terminal Feri Tanah Merah, pada 16 Mei lalu.

Memetik laporan Channel News Asia, Menteri Undang-Undang dan Dalam Negeri, K Shanmugam bercakap kepada media pada Isnin, memaklumkan ancaman itu datang daripada penyokong pendakwah Indonesia.

Ia berikutan, terdapat desakan supaya pemimpin negara itu memohon maaf kepada umat Islam dan rakyat Indonesia dalam tempoh 48 jam.

Shanmugam mendedahkan ancaman yang dimuat naik oleh pengguna Instagram, antara lainnya menggelar Singapura sebagai “negara Islamofobia”.

Ia termasuk ancaman untuk mengusir Duta Singapura ke Indonesia, dan menghantar tentera termasuk Barisan Pembela Islam untuk menyerang negara itu “seperti 9/11 di New York 2001” jika tuntutan mereka tidak diendahkan.

Bagaimanapun, status berkenaan sudah dibuang, sekali gus menyekat akaun terbabit kerana didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Shanmugam turut menegaskan, pihaknya tidak akan mengambil ringan terhadap ancaman berkenaan, demi keselamatan rakyat Singapura.

“Saya tidak akan meremehkan ancaman-ancaman itu,” katanya ketika ditanya berhubung kebimbangan rakyat Singapura perlu bimbang terhadap ancaman itu.

Dalam perkembangan sama, Shanmugam turut mendedahkan, beberapa orang telah disiasat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah pengikut Abdul Somad termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan pada Januari 2020.

Remaja itu telah menonton ceramah Abdul Somad mengenai pengeboman berani mati di YouTube dan mula percaya bahawa jika dia berjuang untuk negara Islam dan menjadi pengebom berani mati, dia akan mati sebagai syahid.

“Jadi anda boleh lihat, dakwah Abdul Somad mempunyai kesannya di dunia sebenar,” katanya.

Pada 17 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura mengesahkan pendakwah Indonesia, Abdul Somad bersama enam rakannya tiba di Terminal Feri Tanah Merah Singapura dari Batam pada 16 Mei.

Sebaik tiba, Abdul Somad disoal sebelum rombongannya kemudian tidak dibenarkan masuk ke Singapura dan dihantar pulang semula ke Batam pada hari yang sama.

Antara lain, kementerian itu mendakwa Abdul Somad dikenali sebagai “pelampau dan penyokong dasar segregasi”, yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.

Untuk rekod, Singapura menjadi negara keenam melarang kemasukan pendakwah berkenaan selepas Jerman, United Kingdom, Switzerland, Hong Kong dan Timor Leste.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases