spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Shahidan lega 14 tindakan interim kurangkan impak banjir kilat di KL

- Advertisement -spot_img

Mohd Nor Wahid

14 TINDAKAN mitigasi banjir berjaya mengurangkan impak banjir kilat di Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata operasi pencegahan banjir kilat yang diwar-warkan sebelum ini telah digunapakai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kejadian banjir kilat berkenaan.

“Ia menunjukkan keberhasilan apabila tempoh masa penyusutan air banjir yang bertakung di jalan raya menjadi lebih pendek iaitu kurang daripada 30 minit, malah tiada kenderaan terkandas dilaporkan.

“Ini juga adalah hasil daripada penggunaan pam-pam air mudah alih berkuasa tinggi dan berkuasa kecil bagi mengepam keluar air yang bertakung dan DBKL menyediakan 120 pam air bagi tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahidan berkata, penggunaan 5,000 beg pasir (sandbags) di tebing-tebing sungai pula telah berjaya menghalang limpahan air dari Sungai Klang dan Sungai Gombak ke kawasan-kawasan terjejas terutamanya di Jalan Segambut dan Jalan Ampang di hadapan Air Terjun Bukit Nenas.

“DBKL akan menambah lagi sebanyak 5,000 beg pasir untuk ditempatkan di kawasan-kawasan baharu yang dikenal pasti akan keberangkalian berlakunya banjir kilat serta di lokasi-lokasi sedia ada,” katanya.

Jelas Shahidan, insiden semalam tidak melibatkan sebarang perpindahan penduduk daripada kediaman masing-masing serta apa-apa kejadian melibatkan cerun atau tanah runtuh.

“Berbanding kejadian-kejadian banjir kilat yang lalu, kali ini dengan perancangan, persediaan dan tindakan yang lebih rapi serta tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi.

“Kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur semalam hanya membabitkan enam lokasi iaitu Jalan Rahmat; Jalan Ipoh Batu 3; Jalan Segambut; Jalan Dutamas 2; Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching dan Jalan Ampang (di hadapan Air Terjun Bukit Nanas).

Shahidan berkata, seramai 500 anggota Task Force yang terdiri daripada kakitangan DBKL, APM dan PDRM termasuk sukarelawan telah dikejarkan ke lokasi-lokasi banjir kilat, antaranya untuk membantu aktiviti membersih dan melancarkan saluran (plogging) yang tersumbat dengan sampah sarap.

Justeru, Shahidan menegaskan, DBKL dan agensi-agensi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan (JPBNWP) akan meneruskan usaha seperti yang dirancang dan telah dilaksanakan bagi mengurangkan lagi kejadian banjir kilat di WPKL.

“Ia termasuklah beberapa tindakan mitigasi seperti pembinaan dinding tebatan banjir (flood wall) di lokasi-lokasi terpilih di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak serta penggunaan ‘flap gate’ bagi menghalang pengaliran semula air dari Sungai Klang ke kawasan-kawasan yang lebih rendah.

“Ini akan dilaksanakan oleh pihak DBKL dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL sedang dalam proses untuk melantik lebih ramai lagi sukarelawan bagi membantu aktiviti ‘plogging’ dan kerja-kerja pembersihan yang ternyata berkesan dalam membantu mengurangkan banjir kilat.

Beliau turut menyarankan pihak Alam Flora menambah kekerapan jadual kutipan sampah di samping memantau dan membantu melaporkan kepada pihak DBKL akan kawasan-kawasan lambakan sampah pembinaan ke dalam longkang, seterusnya menjadi punca banjir kilat.

“JPBNWP, KWP, DBKL dan lain-lain agensi akan sentiasa bekerjasama dalam menambahbaik pengurusan mitigasi banjir dan banjir kilat di Kuala Lumpur menerusi langkah-langkah interim jangka pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.

“Saya bertekad agar isu banjir kilat ini akan dapat ditangani dengan segera dan secara berkesan demi kesejahteraan hidup warga kota,” katanya.

Terdahulu, pada 9 Mei, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah mengumumkan pelaksanaan 14 langkah interim dengan kos RM10 juta di bawah Pelan Tindakan Tebatan banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 bagi mengatasi masalah banjir kilat sebagai langkah segera sebelum penyelesaian jangka panjang dilaksanakan. – Wacanakini

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases