Oleh: ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Sempadan Sarawak-Kalimantan harus dilengkapi Pos Kawalan Sempadan kekal agar kawalan pencerobohan daripada warga asing dapat dipertingkatkan.
Ketika ini lokasi sifar kilometer Sarawak itu ditempatkan Pos Kawalan Sempadan Sementara Telok Melano kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.
Walaubagaimanapun, Azizul menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas pembinaan Pos Kawalan Sempadan Sementara Telok Melano dengan peruntukan RM500,000 yang telah siap dan kini digunakan sepenuhnya.
“Namun perkara lain yang ingin saya tegaskan kepada Dewan yang mulia ini ialah mengenai keselamatan sempadan kita terutamanya di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan dalam kawasan saya,” kata Azizul sambil menyebut isu berkenaan telah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini.
Azizul berkata demikian dalam ucapan penghargaan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Persidangan Hari Keempat Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19 hari ini.
“Dengan siapnya Lebuhraya Sematan – Telok Melano, peluang sudah terbuka untuk pencerobohan sempadan sama ada melalui darat dan laut terutamanya melalui Taman Negara Tanjong Datu,” ujarnya.
Ekoran ini Azizul menggesa pihak berkuasa yang berkaitan memandang serius terhadap keperluan membina pos kawalan sempadan yang bersifat kekal.
“Sebelum ini kita bernasib baik kerana semasa penutupan (sempadan), tidak banyak pergerakan antara sempadan berlaku namun sekarang sempadan dibuka, kita perlu berwaspada dan meningkatkan keselamatan di sempadan kita,” tegasnya.
Azizul adalah ‘muka baru’ Gabungan Parti Sarawak yang merupakan anak bongsu Mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem turut mendapat pujian daripada Timbalan Speaker DUN Sarawak Datuk Idris Buang pada hari kedua Persidangan berikutan hujahnya yang menyokong Rang Undang-undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 dilontarkan penuh kajian terperinci dan padat dengan maklumat.