Oleh Tun Puteh Wanti
BANGI : Isu kenaikan kos sara hidup 3,896 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara akan ditangani segera.
Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, satu kajian akan dilakukan segera oleh MARA dan apabila laporan sudah lengkap ia akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
“Kita sudah mulakan kajian beberapa minggu lalu selepas pelajar terbabit memaklumkan permasalahan mereka kepada Perdana Menteri dalam kunjungan beliau ke UK.
“Namun perincian maklumatnya saya belum terima, saya hanya terima dari media sosial sahaja.
“Setakat ini kami masih menunggu maklumat lengkap pecahan perbelanjaan mereka, jumlah tajaan, yuran pengajian, kos sewa rumah, perbelanjaan bulanan dan kalau kos naik berapa perbelanjaan bulanan untuk makan dan minum.
“Tajaan dan kadar elaun yang diterima pelajar juga berbeza berdasarkan lokasi dan jurusan pengajian mereka, jadi itu juga dalam pertimbangan kita,” katanya kepada wartawan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Luar Bandar di di Institut Kemajuan Desa (INFRA), petang tadi.
Tambahnya, kajian terbabit sudah dimulakan beberapa minggu lalu dan laporannya akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz dalam masa terdekat.
Pelajar tajaan MARA paling ramai di United Kingdom dengan 1,422 pelajar, diikuti Jordan (297), Jerman (291), India (234) dan Australia (234).
Awal April lalu, media melaporkan terdapat peningkatan sehingga 54 peratus had harga tenaga di United Kingdom (UK).
